Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Lebih 1,000 remaja terlibat kes judi dalam talian ditahan

    SEOUL, 25 APRIL – Polis menahan 2,925 orang termasuk lebih 1,000 remaja, dalam tindakan pembanterasan selama enam bulan terhadap perjudian dalam talian yang menyasarkan remaja, kata pegawai hari ini.

    Pejabat Siasatan Kebangsaan berkata 1,035 remaja telah ditahan dan 566 daripada mereka telah dirujuk ke pusat kaunseling manakala 75 orang dewasa ditangkap secara rasmi dan 61.9 bilion won (AS$45 juta) hasil jenayah dirampas dalam operasi itu dari 25 September hingga 31 Mac, lapor agensi berita Yonhap.

    Daripada keseluruhan remaja itu, 12 dituduh mengendalikan laman perjudian dalam talian.

    Mengikut kumpulan umur, 798 pelajar sekolah tinggi, 228 pelajar sekolah menengah dan tujuh pelajar universiti antara yang ditangkap. Dua pelajar sekolah rendah turut ditahan dengan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang bertaruh 10,000 won didapati paling muda.

    Ramai pelajar sekolah menengah dan tinggi terbabit perjudian dalam talian melalui jemputan daripada rakan-rakan, menurut polis. Kebanyakannya terjebak dalam perjudian melalui mesej telefon pintar, iklan dalam talian dan media sosial.

    Berdasarkan jenis perjudian, 434 remaja atau 41.9 peratus daripada jumlah keseluruhan berkata mereka bermain baccarat, diikuti perjudian sukan yang mencatatkan 19.8 peratus, kasino sebanyak 17.1 peratus dan powerball atau mesin slot menyumbang 14.7 peratus.

    Polis berkata proses pendaftaran mudah yang membolehkan remaja mengenakan bayaran perjudian dengan hanya menggunakan akaun bank mereka di bawah nama mereka adalah satu daripada sebab perjudian dalam talian meningkat dalam kalangan remaja, dengan persepsi salah yang melihat perjudian sebagai permainan, menurut Yonhap.

    Polis merancang untuk meneruskan pembanterasan selama enam bulan bermula Mei ini dan akan mengekang kandungan berbahaya secara haram dalam talian dan memperluaskan latihan untuk mencegah jenayah berkaitan perjudian. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...