Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Lulusan Usuluddin ceburi perusahaan kopi

    Gambar Bernama

    MARANG – Majoriti lulusan jurusan pengajian Islam memilih untuk menjadi pendakwah atau guru agama, namun Zulkifli Harun ‘lari jauh’ daripada bidang tersebut dan memilih untuk bergelar usahawan kopi berjaya.

    Sangat menggemari bidang perniagaan dan keusahawanan mendorong lelaki berusia 41 tahun itu menongkah arus dan katanya dia tidak kisah terjun dalam bidang yang berisiko.

    “Ketika mula-mula berniaga, saya dihina dicaci malah diherdik segelintir pemilik premis kedai yang ingin saya tumpang untuk menjual produk saya.

    “Semua cabaran tersebut dijadikan azimat serta dorongan untuk saya membina empayar perniagaan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di sini, baru-baru ini.

    Pemegang Diploma Pengajian Islam Usuluddin dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, minat berniaga sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Harun Mansor yang dahulunya berniaga kedai makan di Kampung Losong di Kuala Terengganu.

    Zulkifli Harun menunjukkan beberapa jenis produk serbuk minuman yang dikeluarkan ketika ditemui di Kilang GLE Centre Sdn Bhd, Bukit Kor, baru-baru ini.
    Seorang pekerja di kilang GLE Centre Sdn Bhd, Bukit Kor melakukan kerja-kerja pemprosesan produk minuman ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
    Zulkifli dan pihak pengurusan syarikatnya menyaksikan kerja-kerja pembungkusan di kilang mereka.

    “Ketika di sekolah rendah lagi saya dah biasa tolong ayah berniaga kedai makan. Minat itu saya teruskan pula ketika belajar di UniSZA, saya jual pelbagai jenis barangan kepada rakan-rakan,” katanya.

    Mengimbas detik awal berniaga, Mohd Zulkifli yang juga Pengarah Urusan GLE Centre Sdn Bhd berkata dia memulakan perniagaan kopi pada 2008, selepas menamatkan pelajaran di UniSZA dengan menggunakan wang pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

    Pada masa itu katanya, cabaran agak getir kerana terpaksa membahagikan masa antara perniagaan dengan tugasnya sebagai guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Yayasan Terengganu.

    “Penat dan lelah usah cerita kerana semua kerja bermula daripada pengeluaran sehingga pemasaran saya lakukan sendiri dengan bantuan hanya dua orang pekerja.

    “Pagi-pagi saya akan berada di kilang untuk menguruskan pengeluaran manakala sebelah petang mengajar KAFA. Selesai mengajar, saya akan bergerak ke kedai-kedai dalam kampung untuk menjual kopi, sehingga 3 pagi barulah boleh balik rumah berehat,” katanya.

    Bagaimanapun, pengorbanannya membuahkan hasil apabila kopi jualannya diterima baik pengguna dan kini Mohd Zulkifli mengeluarkan 17 jenis produk termasuk susu kambing, minuman koko dan kopi premium Cappuccino. –Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...