Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marcos harap Trump kekalkan perikatan Filipina-AS

    MANILA, 6 NOV – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, hari ini mengucapkan tahniah kepada Donald Trump kerana memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), sambil menyatakan bahawa beliau berharap dapat mengukuhkan ‘perikatan yang erat’ dengan rakan ketenteraan Washington.

    AS merupakan rakan pertahanan bersama yang lama bagi Filipina.

    Manila telah berusaha untuk menunjukkan keyakinan dalam perkongsian mereka dengan AS, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan penganalisis keselamatan bahawa pendirian America First Trump mungkin akan menyebabkan beliau menarik balik perikatan itu.

    “Presiden Trump telah menang, dan rakyat Amerika mencapai kejayaan, dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka atas kemenangan dalam satu proses yang menunjukkan kekuatan nilai-nilai Amerika,” kata Marcos dalam satu kenyataan bertulis.

    Gambar Freepik

    Marcos berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Trump ‘dalam pelbagai isu yang akan memberi manfaat bersama kepada dua negara dengan ikatan yang mendalam, kepercayaan yang dikongsi, visi yang sama, dan sejarah panjang bekerjasama’.

    Beliau menambah, “Saya berharap perikatan yang kukuh ini, yang telah diuji dalam peperangan dan keamanan, akan menjadi kekuatan kebaikan yang akan membuka jalan bagi kemakmuran dan persahabatan, di rantau ini, dan di kedua-dua belah Pasifik.”

    Sementara itu, ketika tempat mengundi di AS ditutup hari ini, duta Filipina ke AS, Jose Manuel Romualdez, berkata Manila yakin dengan masa depan perkongsian tersebut.

    “Mengenai semua spekulasi tentang apa makna pilihan raya ini bagi Filipina, saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa perkongsian Filipina-AS akan bertahan di bawah mana-mana presiden AS,” kata Romualdez dalam satu forum keselamatan di Manila. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda