Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL – Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu mengeluarkan amaran gelombang haba teruk di beberapa kawasan negara India.

    Menteri Jalan Raya, Nitin Gadkari pengsan semasa ucapannya kelmarin di sebuah bandar kecil di negeri barat Maharashtra, di mana beliau berkempen untuk pemilihan semula kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

    Rakaman kejadian menunjukkan menteri berkenaan jatuh pengsan dan dibawa keluar dari pentas oleh pengendali.

    “Saya berasa tidak selesa kerana bahang semasa perhimpunan itu, tetapi sekarang saya sihat sepenuhnya,” tulis Gadkari di platform media sosial X lewat hari itu sambil menambah dia akan meneruskan kempen pilihan rayanya.

    Jabatan Meteorologi India berkata hari ini keadaan gelombang haba yang teruk mungkin berterusan di sekurang-kurangnya sembilan negeri timur dan selatan dalam tempoh lima hari akan datang.

    “Gelombang haba yang berubah menjadi semakin teruk berkemungkinan besar akan berlaku,” menurut kenyataan itu, dengan suhu telahpun mencecah 44 darjah Celsius di beberapa lokasi.

    Perhimpunan kempen luar besar-besaran sedang diadakan di seluruh India sempena pilihan raya maraton yang berlangsung selama enam minggu dengan puluhan juta orang akan mengundi dalam fasa kedua undian pada Jumaat nanti.

    Suruhanjaya pilihan raya India berkata ia sedang mengkaji kesan gelombang haba dan kelembapan sebelum setiap pusingan pengundian supaya ‘langkah mitigasi’ boleh diambil untuk membolehkan rakyat membuang undi. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...