Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Pasukan Engineering A muncul juara dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Radio Televisyen Brunei (RTB) 2024 sekali gus membawa pulang hadiah berupa piala rebutan, piala iringan, pingat dan sijil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RTB, di sini, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta kejohanan ialah Awang Mohd Zulkarnain bin Haji Brahim @ Ahmad.
Di peringkat akhir kejohanan berkenaan, empat buah pasukan berjaya melayakkan diri untuk bersaing bagi merebut gelaran juara iaitu D3P, Engineering A, Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa dan Bahagian Rancangan TV A, yang mana kejohanan itu berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Pasukan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa muncul sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan sijil. Manakala tempat ketiga diraih oleh pasukan Rancangan TV A yang membawa pulang hadiah berupa piala iringan, pingat dan sijil.
Kejohanan berkenaan berlangsung sejak 1 November di mana ia menyaksikan penyertaan daripada lapan pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada semua bahagian di RTB.
Antara kategori-kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan ialah Beregu Lelaki Terbuka A, Beregu Lelaki Terbuka B, Beregu Veteran (45 tahun ke atas), Beregu Wanita Terbuka dan Beregu Campuran.
Kejohanan itu bertujuan untuk menggalakkan para pegawai dan kakitangan RTB untuk bergiat cergas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan di samping untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama secara berpasukan.