Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pemain KDNFC perlu sesuaikan diri dengan teknologi VAR

    KOTA BHARU, 25 APRIL – Pemain Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan semakan video bantuan pengadil (VAR) bagi mengelakkan dihukum dengan teknologi itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

    Penolong Ketua Jurulatih KDNFC, Rezal Zambery Yahya berkata pemain perlu lebih berhati-hati untuk membuat keputusan dan mengelak melakukan kesilapan yang boleh membantu lawan memperoleh kelebihan menerusi bantuan VAR.

    “Memandangkan kita baharu menggunakan teknologi ini, jadi pemain perlu cepat menyesuaikan diri terutamanya di kawasan gol sendiri kerana musim ini banyak mata pengadil yang akan memerhati bagi membuat keputusan.

    “Begitu juga dengan masa perlawanan akan lebih bertambah sembilan atau 10 minit berbanding sebelum ini masa tambahan empat ke lima minit, jadi pemain perlu lebih cergas,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pramusim menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Muhamad IV malam tadi.

    Rezal Zambry berkata barisan jurulatih pasukan itu juga akan mengkaji semula corak latihan bagi memastikan pemain lebih cergas menghadapi masa tambahan perlawanan yang panjang.

    “Aspek pertukaran pemain selepas ini juga perlu kita atur semula kerana kita hanya ada lima pertukaran, kita tidak boleh terburu-buru membuat pertukaran pemain.

    “Dalam tempoh masa tinggal dua minggu sebelum sepak mula sebenar pada 11 Mei depan kita perlu mengkaji penggunaan VAR ini,” katanya.

    Mengulas mengenai aksi pramusim, beliau berkata terdapat peningkatan daripada pemainnya.

    “Banyak perkara positif yang kita dapat terutamanya dari segi keserasian pemain dan kita mempunyai masa lebih kurang dua minggu untuk memperbaiki kelemahan sebelum berdepan perlawanan pertama Liga Super menentang Sri Pahang FC,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...