Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Penternakan bulu musang terima kecaman di Finland

    HELSINKI – Musang gemuk, dijangkiti penyakit terperangkap dalam sangkar kecil; dengan anak-anak memakan adik-beradiknya yang mati terlihat dalam rakaman kumpulan hak asasi haiwan memberikan gambaran mengejutkan tentang penternakan bulu musang di Finland.

    Hampir sejuta bulu yang dihasilkan setiap tahun, Finland merupakan pengeluar terkemuka Eropah bagi bulu musang yang diperakui, kedua di dunia selepas China.

    Tetapi rakaman baharu itu menonjolkan kontroversi mengenai industri bulu negara Nordic, yang menentang seruan untuk melarangnya.

    “Penternakan bulu sepatutnya diharamkan di Finland sekarang dan saya fikir ia memalukan bahawa ia masih belum dilakukan,” ahli Parlimen Perikatan Kiri, Mai Kivela memberitahu AFP.

    Pada bulan Disember, Inisiatif War-ga Eropah yang menyeru larangan seluruh Kesatuan Eropah (EU) terhadap industri bulu mencapai satu juta tandatangan, jumlah yang diperlukan untuk mencetuskan respons daripada suruhanjaya. Inisiatif itu menggesa EU untuk mengikuti kebanyakan negara anggota bagi mengharamkan amalan itu, yang dianggap ‘sememangnya kejam’.

    Rakaman yang mendedahkan keadaan di mana musang hidup, terperangkap di dalam sangkar kecil berjaring. – AFP
    Beberapa musang gemuk yang mengalami jangkitan terlihat dalam rakaman itu. – AFP
    Pejuang hak asasi haiwan mendesak agar industri bulu di negara tersebut diharamkan. – AFP

    Parti Sosial Demokrat pimpinan Perdana Menteri Finland, Sanna Marin memutuskan pada 2020 untuk menyokong larangan itu, mengikut jejak Left Alliance and Greens.

    Tetapi mereka yang menyokong larangan secara terang-terangan masih menjadi minoriti di parlimen Finland, kerana industri eksport bernilai 360 juta euro dianggap penting untuk beberapa kawasan luar bandar.

    Kumpulan hak haiwan Finland, Oikeutta Elaimille (Justice for Animals) berkongsi rakaman yang tidak diterbitkan dengan AFP yang dikatakan mengambil rakaman tanpa kebenaran di dalam enam buah ladang bulu Finland yang berbeza pada 2022.

    Persatuan Penternak Bulu Finland FIFUR, yang memperakui ladang untuk memastikan kesihatan haiwan, mengesahkan kepada AFP bahawa mereka telah meluluskan empat ladang yang dikenal pasti oleh aktivis.

    AFP telah menerbitkan video dan gambar dari empat ladang yang diperakui itu.

    Rakaman itu mendedahkan keadaan di mana musang hidup, terperangkap di dalam sangkar kecil yang berjaring.

    Dalam video tersebut, haiwan itu dilihat mengalami penyakit mata dan jangkitan pada telinga dan ekor.

    “Keadaan haiwan di ladang ini benar-benar mengerikan,” kata aktivis Kristo Muurimaa kepada AFP.

    Musang tidak dapat memenuhi keperluan tingkah laku semula jadi haiwan itu dalam sangkar yang sempit, mendedahkannya ‘kepada pelbagai gangguan tingkah laku’ seperti kompulsif mundar-mandir ke sana ke mari, kata Muurimaa.

    Oikeutta Elaimille juga berkata musang itu ‘dibiakkan secara berlebihan kepada saiz yang besar’, yang membawa kepada masalah kesihatan seperti kulit melengkung dan jangkitan mata.

    Beberapa ekor musang dalam rakaman itu sangat gemuk sehingga tidak menyerupai musang.

    Rakaman itu juga menunjukkan anak-anaknya memakan adik-beradiknya yang mati.

    Undang-undang perlindungan haiwan Finland “ketinggalan jauh di belakang piawaian Eropah,” Muurimaa berhujah, dan masalahnya meluas.

    “Semua ladang bulu di Finland lebih kurang sama daripada sudut pandangan haiwan,” kata Muurimaa.

    FIFUR mengecam penggambaran tanpa kebenaran di ladang sebagai ‘pencerobohan haram’ dan memberitahu AFP rakaman itu tidak menunjukkan realiti.

    “Mereka memberikan gambaran palsu sepenuhnya tentang penternakan bulu, sampel berat sebelah,” kata Olli-Pekka Nissinen, jurucakap persatuan yang mewakili kebanyakan pengeluar bulu di Finland.

    FIFUR berkata mereka menunjukkan rakaman itu kepada pengeluar tetapi “mereka tidak dapat mengenali haiwan tersebut kecuali mungkin seekor musang perak.”

    Walau bagaimanapun, untuk menyiasat dakwaan itu, doktor haiwan FIFUR ‘masih akan melawat ladang dalam beberapa hari akan datang’.

    “Empat ladang ini merupakan ladang bulu yang diurus dengan baik dan diperakui di mana pengeluar menjaga haiwan mereka,” tegas Nissinen.

    Proses pensijilan FIFUR termasuk lawatan audit berkala setiap tahun.

    “Haiwan biasanya dalam keadaan baik, ” kata Nissinen. “Secara amnya, jika ladang mempunyai lima atau 10,000 haiwan” mungkin “selalu ada haiwan yang mengalami jangkitan mata atau jangkitan telinga secara tiba-tiba” yang dirawat oleh pengeluar, kata Nissinen.

    Tetapi statistik pensijilan menunjukkan bahawa ‘kecederaan dan kematian agak rendah’.
    Beberapa negara Eropah, termasuk Austria dan United Kingdom, telah melarang penternakan bulu, dan pandemik COVID telah mendorong lebih banyak negara untuk mengikutinya.

    Semasa wabak itu, Perancis, Belanda dan Estonia memperkenalkan larangan baharu, manakala Denmark mengarahkan pemusnahan keseluruhan populasi cerpelai yang diternak di negara itu selepas wabak COVID.

    Pada 2021, Austria dan Belanda menggesa EU untuk menamatkan penternakan bulu, seruan yang disokong oleh Belgium, Jerman, Luxem-bourg dan Slovakia.

    Tetapi persatuan penternak di Finland mengatakan sebarang larangan EU akan bertentangan dengan peraturan blok itu.

    “Larangan terhadap penternakan bulu dan perdagangan bulu adalah bertentangan dengan perjanjian EU dan empat kebebasan,” kata Nissinen merujuk kepada pergerakan bebas barangan, orang, perkhidmatan dan modal yang membentuk asas perjanjian pengasasan EU.

    Industri penternakan bulu adalah sangat penting untuk luar bandar Finland, menggaji kira-kira 3,000 orang, katanya. “Kami sama seperti sektor ternakan luar bandar lain yang berurusan dengan haiwan ternakan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...