Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Perlu telus, adil dalam pengambilan pekerja

    Baru-baru ini saya cukup tertarik dengan satu perkara yang dibangkitkan oleh adik ipar saya mengenai masalah ketidaktelusan atau disebut oleh orang kitani sebagai ‘inda transparan’ bagi sesetengah majikan di negara ini dalam pengambilan pekerja.

    Dalam konteks pengambilan pekerja terutamanya di sektor swasta, perdebatan mengenai ketelusan dan keadilan merupakan topik hangat yang acap kali dibahaskan di negara kitani yang memerlukan sorotan tajam. Namun, sayangnya secara realitinya, banyak pihak majikan tidak mempraktikkan prinsip-prinsip ketelusan yang sewajarnya.

    Justeru, sektor swasta yang seharusnya menjadi tulang punggung ekonomi negara ini, seringkali terperangkap dalam sistem yang ‘inda transparan’ dan kepentingan yang tidak jelas. Banyak syarikat yang mengamalkan pengambilan pekerja yang rumit dan tersembunyi. Mereka mempersembahkan diri sebagai majikan yang bertanggungjawab, tetapi hakikatnya mereka hanya bermain-main dengan harapan dan impian calon pekerja yang bersulamkan kata-kata manis yang kemudian tidak dikotakan.

    Salah satu masalah yang seringkali terjadi adalah tidak konsisten dalam pengiklanan jawatan kosong. Terlalu sering, kita melihat iklan lowongan pekerjaan yang disusun sedemikian rupa agar hanya mengundang calon yang diinginkan.

    Natijahnya, majikan mengambil pendekatan subjektif dalam penilaian calon pekerja, berfokuskan faktor-faktor tidak relevan seperti umur, jantina dan latar belakang keluarga.

    Ini menjejaskan prinsip asas meritokrasi dan kesetaraan peluang yang sepatutnya menjadi landasan proses pengambilan pekerja.

    Waima tah demikian, kita juga tidak boleh mengabaikan masalah diskriminasi dan nepotisme yang bermaharajalela di beberapa syarikat. Kebiasaannya di negara ini, kita melihat individu yang kurang berkualiti dan tidak berpengalaman mendapat pekerjaan hanya kerana hubungan keluarga atau persahabatan dengan individu yang berkuasa. Hal ini tidak hanya mengecewakan para pencari kerja yang berjuang keras, tetapi juga menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap integriti syarikat-syarikat tersebut.

    Tuntasnya, untuk menyelesaikan masalah ini, majikan perlu menekankan pentingnya prinsip-prinsip ketelusan dan keadilan dalam pengambilan pekerja. Mereka perlu mengubah paradigma dan membangun sistem yang telus dan adil, memberikan peluang yang sama kepada semua calon berdasarkan kemampuan dan keahlian mereka. Rentetan itu, pihak relevan kerajaan juga perlu terlibat dalam mendorong dan memantau kepatuhan syarikat-syarikat terhadap standard ketelusan yang jelas.

    Kesimpulannya, seyogialah kita berganding bahu dalam menghadapi masalah ini secara langsung dan dengan tegas agar kita dapat membina persekitaran kerja yang lebih adil, telus dan berkualiti dalam sektor swasta.

    SilentRover

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...