Monday, May 6, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Puteri Sarah nafi dakwaan bakal berkahwin

    Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana, 39, kesal gosip mendakwanya bakal berkahwin dengan rakan perniagaan yang juga aktor Indonesia, Andi Arsyil, 37, semakin kecoh.

    Puteri Sarah berkata, dia kurang selesa kerana dakwaan berkenaan boleh menimbulkan fitnah, apatah lagi, dia dan Andi hanya teman rapat dan sedang giat menjalankan perniagaan produk penjagaan kulit dan tudung bersama.

    “Hubungan saya dengan Andi buat masa ini memang hanya rakan perniagaan, di mana kami jual produk penjagaan kulit dan tudung bersama. Ia tidak lebih daripada itu pun.

    “Saya tak suka bila ada orang keluarkan kenyataan sedemikian kerana ia boleh mendatangkan fitnah. Kalau Andi tahu, dia pun mungkin tak suka.

    “Untuk seseorang keluarkan kenyataan begitu bagi pihak saya, itu memang tak manis.

    “Kawan-kawan saya pun tak pernah cakap atau keluarkan kenyataan begitu. Tiba-tiba, seseorang memandai-mandai keluarkan kenyataan begitu,” katanya kepada BH Online.

    Ditanya sama ada mempunyai perancangan berkahwin buat kali kedua, bekas isteri pelakon dan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof itu masih belum berfikir ke arah itu.

    “Bukan sekarang dan belum masanya lagi. Sekarang, saya nak fokus kepada anak-anak dan perniagaan. Insya-Allah, saya akan mulakan penggambaran semula pada akhir bulan ini.

    “Sekarang, saya memang 100 peratus tumpukan kepada perniagaan selepas selesai penggambaran beberapa drama dan teater selesai,” katanya.

    Sebelum ini, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul 8 Mac 2014.

    Bagaimanapun, pasangan itu bercerai talak satu pada 14 Jun tahun lalu.

    Hasil perkongsian hidup, Puteri Sarah dan Syamsul dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Summayah, 5.- Agensi

    Puteri Sarah masih belum berfikir ke arah untuk mendirikan rumah tangga.- mStar

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...