Sunday, May 19, 2024
33 C
Brunei

    -

    20 Mei sebutan semula kes bunuh Bella

    BATU PAHAT, 6 MEI – Mahkamah Majistret di Batu Pahat, Johor, Malaysia hari ini menetapkan 20 Mei ini sebagai sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa membunuh teman wanitanya, Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip memaklumkan masih menunggu arahan lanjut Pejabat Pendakwaan Negeri Johor kerana terdapat perkembangan baharu daripada polis.

    Pada prosiding itu, peguam Syahril Anuar Harun yang mewakili tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 25, memohon tarikh lebih singkat atau sekitar dua minggu kerana sebutan kes untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi telah ditangguhkan dua kali iaitu pada Mac dan April lepas.

    Pada 24 Januari lepas, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmilah, 32, antara 11 malam 14 Disember hingga 5:30 pagi, 15 Disember tahun lepas, di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, media melaporkan Bella yang juga ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas didakwa keluar rumah dengan menaiki kereta teman lelakinya untuk ke kedai dobi pada 11:50 malam, 14 Disember tahun lepas. 

    Pada 19 Januari lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella. – Bernama

    Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 20 Mei ini sebagai sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa membunuh teman wanitanya, Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...