VALENCIA, 5 NOV – Sepanyol hari ini mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$11.5 bilion bagi memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir terburuk dalam beberapa dekad yang telah meragut 218 nyawa.
Ribut Mediterranean luar biasa yang melanda timur Sepanyol minggu lalu, menyebabkan arus deras air berlumpur yang membawa kemusnahan besar, dengan beberapa mangsa masih dilaporkan hilang.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan beberapa langkah bantuan, termasuk sokongan untuk perniagaan kecil dan sederhana, pekerja bebas serta isi rumah yang terjejas dengan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda.
Pakej bantuan itu turut meliputi pelepasan dan pengurangan cukai serta penangguhan tiga bulan untuk pembayaran balik gadai janji dan pinjaman, bagi melindungi ekonomi dan mata pencarian rakyat yang terjejas.
Anggota keselamatan dan perkhidmatan kecemasan kini bertugas siang dan malam untuk membaiki infrastruktur yang rosak, mengagihkan bantuan dan mencari mangsa dalam pengerahan terbesar angkatan tentera negara itu.
Sanchez memaklumkan bahawa hampir 15,000 anggota tentera, polis dan pengawal awam kini dikerahkan ke wilayah Valencia di timur Sepanyol, kawasan yang paling terjejas dengan jumlah korban dan kemusnahan tertinggi, meningkat daripada 7,300 anggota pada Sabtu lalu. – AFP