Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Tingkat kesedaran, kefahaman autisme

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai gangguan spektrum autisme (ASD) dalam masyarakat, Taklimat Kesedaran Austisme telah diadakan di Dewan Kuliah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

    Hadir semasa taklimat yang diadakan oleh Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan IBTE dan Learning Ladders Society (LLS) itu ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Haji Sofiandi bin Haji Mohd Ali; Ketua Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Awang Mohd Kamarul Izzudin bin Haji Kamaluddin; Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Antarabangsa, Dayang Lisa Hanisa Borhanudin, ketua-ketua unit, ketua-ketua program, tenaga pengajar serta pelajar.

    Pada majlis berkenaan, taklimat bertajuk Bekerja Sebagai Seorang Juruteknik yang Mempunyai Autisme (Pengalaman Teknikal Praktikal) telah disampaikan oleh Penolong Pembelajaran Gunaan LLS, Dayang Nurul Lylia binti Haji Ahmad dan taklimat bertajuk Kesedaran Autisme telah disampaikan oleh Penolong Penyelia Tingkah Laku, LLS, Francisca Lee Bix Sie.

    Kerjasama antara LLS dengan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan itu dihasratkan dapat menyediakan persekitaran selamat untuk memupuk integrasi dengan mengadakan inisiatif sosial dan pendidikan mingguan bagi meningkatkan kesedaran mengenai individu yang mempunyai autisme.

    Aktiviti-aktiviti pendidikan, sosial dan rekreasi yang dilaksanakan bermatlamat untuk mempromosikan amalan inklusif dan memperjuangkan bagi sistem sokongan bagi individu yang mempunyai autisme dan keluarga mereka.

    Menerusi usaha bersama itu, LLS dan IBTE dapat meraih manfaat bersama untuk mengorak langkah ke depan dalam menjana sebuah masyarakat lebih inklusif serta pada masa yang sama, memajukan dan menyokong visi Learning Ladders bagi individu yang mempunyai ASD mampu mencapai potensi sepenuh mereka.

    Taklimat kesedaran berkenaan merupakan hasil daripada langkah awal kerjasama yang dibincangkan oleh Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan dengan LLS

    Pada minggu seterusnya, aktiviti membuat kuih dan kek akan dikendalikan di mana dua hingga tiga orang pelajar dari LLS akan mengambil bahagian bersama-sama pelajar dari Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan untuk menghasilkan pelbagai juadah kek, biskut dan kuih.

    Para pegawai dan pelajar IBTE bergambar ramai bersama Francisca Lee Bix Sie dan Dayang Nurul Lylia. – GAMBAR SERAHAN IBTE
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...