Tuesday, May 7, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    27 monumen, bangunan bersejarah diwartakan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Jabatan Muzium-muzium melalui Akta Barang-barang Harta Purba Kala dan Harta Terpendam telah mewartakan sebanyak 27 monumen dan bangunan-bangunan bersejarah yang terdiri daripada 15 monumen bersejarah; dan 12 makam diraja di seluruh negara.

    Ini termasuk tiga buah tapak arkeologi iaitu Tapak Sungai Limau Manis, Tapak Industri Getah Labu Estate, dan Tapak Lombong Arang Batu.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad bagi menjawab pertanyaan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman, berhubung perkembangan tapak arkeologi di Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha yang ditumpukan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, baru-baru ini.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa lapan buah tapak arkeologi telah direkodkan sepanjang lima tahun kebelakangan seperti Kampung Bukit Kandul, Kampung Kiudang, Sungai Brunei, Kampung Kasat, dan Kampung Katimahar.

    “Ini kerana kerja-kerja penyelidikan ditumpukan kepada monumen dan bangunan bersejarah di Negara Brunei Darussalam dan juga termasuklah dalam pemeliharaan di bawah Akta Barang-barang Harta Purba Kala dan Harta Terpendam. Namun Jabatan Muzium-muzium akan terus melaksanakan penyelidikan ke atas tapak-tapak arkeologi dan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara.

    “Penyelidikan secara berterusan telah dijalankan ke atas tapak-tapak arkeologi yang terdapat di Negara Brunei Darussalam dan terdapat lebih daripada 100 buah tapak arkeologi telah direkodkan di keempat-empat buah daerah,” ujarnya lagi.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato mengongiskan setakat ini belum ada penemuan tapak-tapak bersejarah, makam-makam, dan batu nisan Kesultanan Brunei yang terbaharu.

    Walau bagaimanapun Pusat Sejarah Brunei (PSB) dengan kerjasama Jabatan Muzium-muzium secara berterusan telah melaksanakan penyelidikan, pengkajian dan penelitian mengenainya yang dijadikan sebagai nilai tambah terhadap pembuktian persejarahan Kesultanan Brunei.

    Usaha-usaha berkenaan, tambah beliau, turut melibatkan kerjasama penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, majlis perundingan mukim dan kampung, serta pihak-pihak berkepentingan.

    Beliau turut memaklumkan bahawa PSB telah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan bagi menjadikan makam dan batu nisan serta tapak-tapak bersejarah sebagai sumber bahan penyelidikan sejarah dan warisan budaya.

    Sehingga kini, sembilan kerja pemeliharaan dan ‘pembisaian’ ke atas tapak makam sultan-sultan Brunei dan satu tapak bersejarah telah dijalankan.

    Selain pemeliharaan dan kerja pemuliharaan dalam bentuk fizikal, ujar beliau lagi, PSB juga telah membuat pemeliharaan dalam bentuk pendokumentasian melalui penerbitan buku bagi tapak-tapak bersejarah untuk rujukan dan kajian orang ramai.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...