Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Abadikan gambar Aidilfitri keluarga di tempat menarik

    Gambar ANN/The Star

    Setiap tahun, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, keluarga dan rakan-rakan akan berkumpul bersama untuk meraikannya, mengeratkan silaturrahim, menjamu selera dan bergembira.

    Ramai juga akan menghabiskan masa mengambil gambar keluarga, kerana semua orang akan memakai pakaian baharu mereka, malah sesetengah orang akan menyelaraskan pakaian mereka agar sedondon di pagi raya.

    Ini sebenarnya adalah tradisi keluarga yang baik untuk diterapkan, kerana ia memupuk hubungan baik antara satu sama lain.

    Awda juga boleh mengamalkan tradisi yang sama dengan rakan rapat.

    Mior Irfan, 24, adalah seorang jurugambar yang telah membuat beberapa potret keluarga Hari Raya yang bukan konvensional.

    Pasangan suami isteri dan anak mereka beriadah di sawah padi di Tanjong Karang, Selangor semasa Hari Raya.
    Adik-beradik dan sepupu berhari raya di rumah datuk dan nenek mereka di tepi pantai di Pantai Sepat, Kuantan, Panag.
    Mior lebih gemar melakukan penggambaran Hari Raya di luar rumah.
    Gambar Raya dengan latar belakang masjid.
    Mural dan seni jalanan lain seperti ini mudah didapati di bandar-bandar besar dan pekan di sekitar Malaysia hari ini.
    Pusat membeli-belah di Malaysia terkenal dengan hiasan perayaan mereka seperti di Intermark Mall di KL.

    “Banyak gambar keluarga untuk Hari Raya masih diambil di dalam rumah, sama ada di rumah seseorang atau di studio.

    “Apa yang saya dan pasukan saya lebih suka lakukan ialah mengambil gambar seperti ini di luar kerana fotografi luar memberikan awda lebih banyak kebebasan untuk memilih latar belakang awda, dan cahaya semula jadi yang pelbagai,” katanya.

    Jika awda masih mencari idea tentang tempat untuk mengambil gambar keluarga semasa perayaan, berikut ialah beberapa cadangan.

    Pantai

    Pantai telah lama menjadi destinasi kegemaran ramai pelancong. Ia menyediakan latar belakang yang menarik untuk dijadikan fotografi. Jadi, jika kampung awda berdekatan dengan pantai, awda mungkin ingin memanfaatkannya dan melakukan sesi bergambar keluarga yang ringkas di sana.

    Untuk menjadikannya lebih istimewa, kemaskan beberapa barang dan berkelah di pantai selepas awda selesai mengambil gambar, atau masukkannya dalam gambar awda.

    Taman awam

    Bagi mereka yang mencari tempat dengan tema alam semula jadi, taman awam akan menjadi pilihan terbaik awda. Dedaunan yang subur mungkin dapat dijadikan sebagai latar belakang yang sempurna untuk foto awda.

    Kebanyakan taman akan dipenuhi dengan bunga berwarna-warni, dan jika awda bernasib baik, semuanya akan mekar pada masa yang sama seperti semasa awda mengambil gambar.

    Jika tiada taman berdekatan, awda juga boleh cuba mencari ruang awam yang dikelilingi oleh banyak pokok atau tumbuhan.

    Untuk sesuatu kesan yang lebih menarik, awda bolehlah pergi ke hutan dan dapatkan beberapa gambar cantik di denai mendaki sambil mengenakan pakaian Hari Raya terbaik awda.

    Masjid

    Kebanyakan umat Islam akan menuju ke masjid atau surau untuk solat, terutamanya semasa perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, jadi lokasi itu mungkin bukan tempat yang sesuai untuk mengambil gambar keluarga awda kerana ia akan sesak.

    Walau bagaimanapun, awda sentiasa boleh mengambil gambar awda pada hari lain, dan di bahagian masjid yang mungkin tidak menghalang laluan orang lain.

    Awda juga boleh mengambil gambar dengan masjid sebagai latar belakang.

    Masjid-masjid di Malaysia sememangnya cantik, jadi sangat masuk akal untuk memasukkannya ke dalam foto Lebaran awda. Awda hanya perlu merancang sesi penggambaran foto dengan betul supaya tidak menyusahkan orang lain.

    Sawah padi

    Sawah padi di Sekinchan, Selangor terkenal di media sosial. Ramai orang mengambil gambar di sana sepanjang tahun kerana sawah itu sentiasa hijau (ketika padi sedang tumbuh) atau kuning keemasan (ketika padi siap untuk dituai).

    Begitu juga, orang ramai sering mengambil gambar di banyak sawah padi yang terdapat di Perlis dan Kedah, serta beberapa negeri lain seperti Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.

    Jika awda merancang untuk mengambil gambar di sawah padi, ingatlah bahawa ini adalah hartanah persendirian dan awda tidak sepatutnya memasuki kawasan sawah tanpa kebenaran. Selain itu, berjalanlah dengan berhati-hati kerana tanah di sekeliling sawah akan berlumpur dan mungkin akan rosak jika terlalu ramai orang berjalan di atasnya.

    Cara terbaik adalah mengambil gambar di tepi jalan, walaupun awda perlu berhati-hati dengan kenderaan yang lalu lintas. Sentiasa beri keutamaan kepada keselamatan.

    Seni jalanan

    Walaupun ada yang menganggap mural atau seni jalanan sebagai bentuk vandalisme, ia telah mendapat pengikut yang ramai di kalangan rakyat Malaysia sepanjang dekad yang lepas.

    Seni mural menjadi tarikan pelancong yang cukup menarik perhatian dan beberapa kerajaan negeri bahkan menggalakkan artis tempatan untuk mempamerkan karya seni mereka di bangunan dan dinding tertentu hari ini.

    Lokasi seperti George Town di Pulau Pinang, Ipoh di Perak, Melaka dan Kuala Lumpur, bahkan mempunyai mural yang terkenal di peringkat antarabangsa.

    Bayangkan mempunyai beberapa karya seni yang menakjubkan ini sebagai latar belakang gambar Hari Raya awda. Ia mungkin sedikit luar biasa, tetapi gambar awda pasti akan menjadi istimewa.

    Bangunan bersejarah

    Ada sesuatu tentang bangunan lama yang menarik perhatian ramai, terutamanya pengunjung. Mungkin itu adalah senibina atau sejarah dan misteri beberapa bangunan yang begitu menarik.

    Maka, beberapa orang memilih untuk mengambil gambar mereka di hadapan bangunan lama terutama bangunan kolonial kerana fasad megah dan suasana yang indah menjadikan latar belakang yang hebat.

    Malaysia juga mempunyai beberapa bangunan warisan lain dan tapak bersejarah seperti A Famosa di Melaka atau Fort Magherita di Kuching, Sarawak.

    Pusat membeli-belah

    Pusat membeli-belah di Malaysia dikenali kerana hiasan dekorasi yang hebat semasa musim perayaan yang mempunyai tema berbeza setiap tahun, yang turut dinanti-nantikan oleh pembeli-belah dan pelancong.

    Kini, kebanyakan pusat membeli-belah akan menyediakan ruangan khas di mana pembeli boleh bergambar bersama alatan bantu yang boleh digunakan dalam gambar.

    Jadi, mengapa tidak menggunakan ruang yang indah ini dan ambil gambar awda di sana? Ia percuma, dihias oleh profesional dan yang terbaik sekali, awda akan berada dalam ruang berhawa di-ngin! – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...