Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Aliran lahar tarik pelancong

    KAILUA-KONA, 1 DIS – Gunung berapi terbesar di dunia, Mauna Loa, di Hawaii, mengalirkan lahar yang kelihatan bercahaya semalam, hingga menarik perhatian ribuan orang yang melalui lebuh raya berdekatan kawasan itu.

    Kali terakhir Mauna Loa meletus adalah pada 1984 dan kembali aktif Ahad lalu selepas terpendam selama 38 tahun, mula melepaskan abu gunung berapi dan bendasing ke udara seterusnya mendap ke bumi.

    Lebuh raya utama yang menghubungkan bandar-bandar di pantai timur dan barat Big Island menjadi tempat tontonan ramai dengan beribu-ribu kereta menghalang lebuh raya berhampiran Taman Negara Volcanoes.

    Lahar itu perlahan-lahan menuruni cerun dan berada kira-kira 10 kilometer (km) dari lebuh raya yang dikenali sebagai Jalan Saddle.

    Bagaimanapun, tidak jelas bila atau sama ada ia akan menutup jalan yang merentasi bekas aliran lahar sebelum ini dan kini terletak dalam laluan aliran lahar sekarang.

    Saintis yang bertanggungjawab di Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii, Ken Hon, berkata berdasarkan kadar aliran semasa, paling cepat lahar itu sampai ke jalan raya adalah dua hari, tetapi ia mungkin mengambil masa lebih lama.

    “Apabila aliran lahar merebak, ia mungkin akan bergerak lebih perlahan selain kelambatan akibat proses penyejukan,” katanya.

    Sementara itu, bau gas gunung berapi dan sulfur pekat dapat dihidu di sepanjang Saddle Road. – AFP

    Pelawat menyaksikan aliran lahar yang menuruni gunung berapi Mauna Loa berdekatan Hilo, Hawaii pada 30 November 2022. –AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...