PARIS, 29 NOV – Seekor anjing yang melarikan diri dari pesawat sehingga menyebabkan penutupan dua landasan di lapangan terbang terbesar Perancis akhirnya kembali ke pangkuan pemiliknya selepas sembilan hari berkeliaran, menurut Air France.
Pihak berkuasa menutup dua landasan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, pada Selasa untuk menangkap anjing bernama Amalka.
Amalka, seekor anjing betina, terlepas dari sangkar pemiliknya pada 19 November ketika proses pemunggahan kargo. Sejak itu, pencarian intensif dijalankan bagi mencari haiwan peliharaan milik seorang pelancong Austria yang terbang dari Vienna ke Perancis menaiki penerbangan Air France.
“Selepas beberapa hari pencarian intensif, kami dengan gembira mengesahkan bahawa Amalka telah ditemukan dan diserahkan semula kepada pemiliknya,” kata Air France dalam kenyataan kepada AFP.
Operasi pencarian pada Selasa melibatkan penggunaan dron oleh polis lapangan terbang, yang memerlukan penutupan sementara dua landasan. Bagi mengurangkan gangguan kepada jadual penerbangan, operasi ini dijalankan pada waktu tengah hari ketika trafik kurang sibuk.
Selepas kejadian tersebut, beberapa pasukan pencarian digerakkan, termasuk pencarian pada waktu malam dengan kehadiran pemiliknya. Kos penginapan pemilik Amalka di Charles de Gaulle turut ditanggung oleh Air France. Poster amaran turut diedarkan untuk membantu kakitangan lapangan terbang mengenal pasti haiwan tersebut.
Menurut laporan akhbar Le Parisien, Amalka akhirnya ditemukan di sebuah taman di Dammartin-en-Goele, sebuah bandar berhampiran lapangan terbang. Akhbar itu juga menyiarkan rakaman video pertemuan semula Amalka dengan pemiliknya, menunjukkan anjing itu gembira mengibas ekornya sementara pemiliknya memeluknya erat. – AFP