Saturday, November 30, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beli barang pancing ikut kemampuan

    Oleh Raz AS – 

    Seiring dengan perkembangan sukan memancing dari segi kepopularannya, pelbagai jenama-jenama baharu peralatan pancing timbul di pasaran umpama cedawan tumbuh selepas hujan dalam satu dekad kebelakangan ini.

    Berbanding dengan jenama-jenama terkenal seperti Shimano, Daiwa, Abu Garcia dan Penn, yang sudah lama bertapak dalam arena ini, masing-masing sudah bertapak semenjak era 1920an hingga 1950an, kepercayaan tinggi para pelanggan dari seluruh dunia terhadap kualiti peralatannya telah mengangkat reputasi mereka sebagai peneraju dalam industri peralatan pancing.

    Hari ini, boleh dikatakan sesiapa sahaja yang menggunakan peralatan memancing daripada jenama-jenama tersebut berbangga menayangkan peralatan mereka kepada rakan-rakan memancing yang lain. Bukan hanya kerana kualiti dan reputasinya, bahkan juga kadang-kadang kerana harganya, “Wow Shimano Stella..Daiwa Saltiga.. bukan urang jaeh-jaeh”.

    Kini jenama-jenama yang baru timbul seperti Kastking dan Piscifun (semenjak 2013) serta jenama-jenama made in China lain yang seumpamanya sedang giat mengorak langkah untuk meraih kepercayaan para pelanggan, sementara menawarkan peralatan-peralatan pancing yang jauh lebih murah dan mampu milik.

    Dengan kebanjiran jenama-jenama peralatan pancing yang baru dan lama di pasaran, ia memberikan kita lebih banyak pilihan untuk mendapat set pancing pertama untuk diri sendiri atau anak-anak, atau ingin mencari pilihan yang lebih baik sama ada dari segi harga atau kualiti, atau juga sekadar ingin berubah angin mendapatkan peralatan daripada jenama lain yang selalu kita pakai.

    keperluan setiap pemancing adalah berbeza-beza, malah status kewangan masing-masing pun adalah tidak sama. Berpuas hati kerana mendapat produk yang terbaik mengikut kemampuan kita berbelanja itulah yang sebaiknya. – GAMBAR OLEH HENRY GILBEY

    Namun begitu, lebih banyak pilihan juga bermakna lebih memeningkan kepala. Selalu timbul persoalan dalam fikiran “baguskan ni?” terutama sekali ketika kita memilih-milih reel mana yang hendak dibeli.

    Kenapa pemilihan reel yang selalu menjadi persoalan? Ini kerana reel selalunya merupakan peralatan yang paling mahal yang kita miliki dalam set peralatan pancing. Selalunya perbandingan antara harga joran dan reel dalam satu set pancing yang dimiliki oleh seseorang pemancing adalah jauh berbeza.

    Bukan tiada joran mahal sampai mencecah harga ratusan mahupun ribuan ringgit tetapi selalunya joran fibreglass yang murah di bawah harga $50, bahkan ada juga yang berharga belasan ringgit, pun memang diakui jarang patah dan tahan digunakan bertahun-tahun selagi mana kita cermat menyimpannya tidak semberana.

    Manakala itu kita sering terdengar atau pernah mengalami sendiri kes reel ‘murah’ atau ‘tidak berjenama’ pecah bearing, pecah gear dan lain-lain lagi masalah hanya setelah beberapa kali digunakan, lebih teruk lagi ada yang baru turun sekali trip. Ini sangatlah merugikan kita kerana wang ringgit yang dibelanjakan hangus begitu sahaja tidak balik modal. Demikian itu selalu berat hati rasanya untuk membelanjakan wang ke atas reel daripada jenama yang kita baru dengar atau kurang percaya.

    Kalau diikut kata hati ingin rasanya untuk mendapatkan reel yang diakui kehebatannya daripada jenama-jenama ternama, namun ia boleh menjadi beban kewangan kepada diri sendiri, sedangkan memancing itu tidak sepatutnya menjadi hobi yang mahal dan membazir.

    Oleh itu, kita perlulah lebih bijak dalam membuat pilihan.

    Beberapa faktor perlulah diambil kira semasa membuat pertimbangan semasa memilih jenama reel yang ingin didapatkan bagi mengelakkan kita terasa rugi kandila. Antara faktor-faktor tersebut merangkumi reputasi, julat harga (price range), teknologi,ketahanan dan khidmat pelanggan.

    1. REPUTASI

    Memang jenama-jenama hebat tidak bermakna semua kualiti produknya sama rata dan hebat-hebat belaka. Kadang-kadang nilai harga sesuatu produknya adalah lebih bergantung pada nama jenamanya berbanding penghasilan dan kualiti produk itu sendiri.

    Namun begitu, reel daripada yang ‘tidak berjenama’ pula memang diketahui sebahagian besarnya tidak berkualiti. Apa yang penting di sini adalah reputasi jenama tersebut. Tidak kiralah jika ia daripada jenama murah, jika ia mempunyai reputasi yang bagus dan dipercayai ramai pemancing lain anda mungkin mahu meluangkan sedikit masa untuk melihat produk yang ditawarkannya.

    2. JULAT HARGA

    Harga selalunya menjadi antara faktor utama sebahagian besar daripada kita kenapa kita memilih untuk membeli sesuatu reel itu. Persoalannya adakah sesuatu jenama itu menawarkan produk yang kita mahu dalam julat harga yang kita selesa untuk berbelanja? Atau sekiranya anda mempunyai peruntukan perbelanjaan atau budget yang lebih lanjar, adakah jenama tersebut menawarkan kualiti yang setaraf dengan jenama lain dalam julat harga premium yang sama?

    3. TEKNOLOGI

    Kadang-kadang ada juga jenama yang sudah berada lama di pasaran, ataupun mungkin juga jenama baru, tetapi ketinggalan dari segi inovasi teknologinya. Sementara jenama-jenama lain berlumba-lumba memperbaiki produk mereka dengan memperkenalkan atau menggunakan teknologi-teknologi terkini, jenama-jenama tersebut masih berada di takuk lama. Masih lagi menggunakan teknologi 40 atau 50 tahun yang lalu sedangkan harganya lebih kurang sama dengan apa yang ditawarkan oleh jenama-jenama lain yang jauh lebih maju.

    4. PERKHIDMATAN PELANGGAN

    Sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu reel daripada sesuatu jenama tersebut, tidak kiralah yang menggunakan teknologi terkini atau lama, adalah lebih baik untuk anda memastikan jenama tersebut menyediakan perkhidmatan yang bagus kepada pelanggannya. Apa yang dimaksudkan di sini adalah jaminan atau warranty terhadap produk yang mereka jual. Mungkin ada yang tidak begitu kisah jika reel yang mereka beli itu rosak dalam jangka masa yang singkat, atau mungkin juga jika membeli dalam talian ternyata produk yang datang terdapat kecacatan. Namun setiap sen yang kita belanjakan itu adalah hasil daripada titik peluh, oleh itu sebagai pelanggan kita berhak mendapat setiap manfaat daripada produk yang kita beli dan ia sampai ke tangan kita dalam keadaan yang sempurna. Apalah gunanya membeli produk mahal-mahal daripada sesuatu jenama itu jika mereka tidak mengendahkan pelanggannya apabila ada masalah timbul.

    Secara kesimpulannya di sini, kita sebagai pelanggan perlulah bijak membuat pilihan. Mendengar atau membaca review apa kata orang lain terhadap sesuatu produk daripada sesuatu jenama itu adalah sangat penting agar kita berpuas hati dan tidak rasa rugi.

    Sementara itu, penting juga untuk kita membuat pertimbangan sendiri daripada sekadar terikut-ikut orang lain secara membabi buta. Ini kerana bukan sahaja keperluan setiap pemancing adalah berbeza-beza, malah status kewangan masing-masing pun adalah tidak sama. Berpuas hati kerana mendapat produk yang terbaik mengikut kemampuan kita berbelanja itulah yang sebaiknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda