Tuesday, May 7, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    BIBD promosi ekonomi biru

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Dalam usaha untuk memacu pembangunan mampan dan menekankan perbincangan serta pengurusan bertanggungjawab sumber-sumber lautan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengambil pendirian proaktif dengan mengadakan siri panel perbincangan yang menumpukan kepada mempromosikan ekonomi biru yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Panel perbincangan berkenaan telah mengumpulkan pakar, pemimpin pemikir dan pembuat perubahan untuk meningkatkan kesedaran serta melihat kepada strategi-strategi inovatif bagi sebuah sektor marin yang peka alam sekitar dan maju.

    Ia merupakan sebahagian daripada Simposium Mengekalkan Biodiversiti Marin melalui Ekonomi Biru 2023 yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan bersempena Hari Lautan Sedunia.

    Konsep ekonomi biru merangkumi aktiviti-aktiviti mampan yang dijalankan dalam persekitaran marin dengan mengimbangkan antara pertumbuhan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

    Mengambil maklum akan pentingnya lautan kepada kesejahteraan dunia, BIBD telah mengambil inisiatif untuk menerajui perbincangan mengenai bagaimana Brunei boleh memanfaatkan sumber marinnya yang ekstensif secara efektif serta pada masa yang sama, memulihara keseimbangan ekologinya.

    Sesi perbincangan bertajuk Reengineering the Consumer Mindset through Responsible Businesses yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD.
    Antara yang menghadiri sesi perbincangan yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.

    Sesi pertama perbincangan bertajuk Reengineering the Consumer Mindset through Responsible Businesses, telah mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Pengasas Bersama Kaimana Living, Tiffany Shiyi Lai; Pengurus Besar Barramundi, Alex Chiam; Pegawai Pendidikan Pusat STEP, Kementerian Pendidikan, Dr Andery Lim; dan Ketua Bahagian Pelaburan dan Perniagaan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Ajmal Faiz bin Pengiran Haji Kamaluddin dengan moderator, Shinny Chia.

    Semasa sesi perbincangan itu, ahli-ahli panel berkongsi pelbagai langkah signifikan yang telah diambil oleh kerajaan, pengawal selia, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial dalam mempromosikan ekonomi biru dan pengurusan marin mampan.

    Kerajaan telah melaksanakan dasar dan peraturan, menubuhkan kawasan perlindungan marin dan melabur dalam penyelidikan serta menguatkuasakan undang-undang dan membangunkan kerangka pemantauan.

    Sementara itu, NGO telah meningkatkan kesedaran dan memperjuangkan bagi dasar yang lebih kukuh serta penglibatan masyarakat.

    Perusahaan sosial juga telah memberikan sumbangan dengan menjana model perniagaan yang inovatif, menyediakan mata pencarian alternatif serta menyokong usaha-usaha kelestarian.

    Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran seperti sumber dan pembiayaan terhad, kepentingan yang bercanggah dan keperluan bagi kerjasama yang kukuh daripada semua pihak yang berkepentingan masih lagi wujud.

    Oleh itu, mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan kebimbangan alam sekitar, menangani pencemaran dan penangkapan ikan secara haram serta memastikan penyertaan masyarakat terpinggir merupakan antara cabaran-cabaran yang berterusan dalam mempromosikan sebuah ekonomi biru yang mampan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekolah ditutup di Manipur, India susulan hujan lebat

    NEW DELHI, 6 MEI - Semua institusi pendidikan, termasuk sekolah dan kolej akan kekal ditutup di negeri Manipur, timur laut India sehingga esok berikutan...