Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Qantas Airways setuju bayar pampasan AS$79 juta

    CANBERRA, 6 MEI – Qantas Airways bersetuju membayar pampasan AS$79 juta dan denda kerana menjual tiket bagi ribuan penerbangan yang dibatalkan, kata syarikat penerbangan itu dan badan pemerhati pengguna Australia hari ini.

    Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) menyaman syarikat penerbangan yang berpangkalan di Sydney itu di Mahkamah Persekutuan tahun lepas.

    Suruhanjaya itu mendakwa Qantas terlibat dalam kelakuan palsu, mengelirukan atau menipu dengan mengiklankan tiket untuk lebih 8,000 penerbangan dari Mei 2021 hingga Julai 2022 yang telah dibatalkan.

    Qantas bersetuju untuk menyelesaikan saman itu dengan membayar denda AS$66 juta kepada kerajaan Australia dan kira-kira AS$13 juta kepada lebih 86,000 pelanggan yang terjejas.

    “Hari ini mewakili satu lagi langkah penting ke hadapan ketika kami berusaha untuk memulihkan keyakinan terhadap syarikat penerbangan kebangsaan ini,” kata ketua eksekutif Qantas, Vanessa Hudson dalam satu kenyataan.

    “Apabila penerbangan disambung semula selepas penutupan COVID, kami menyedari Qantas mengecewakan pelanggan dan tidak mencapai piawaian kami sendiri. Kami tahu ramai pelanggan kami terjejas akibat kegagalan kami memberikan pemberitahuan pembatalan tepat pada masanya dan kami dengan ikhlas memohon maaf,” kata Hudson, yang menggantikan Alan Joyce menerajui syarikat penerbangan itu pada November tahun
    lalu.

    Seorang hakim Mahkamah Persekutuan masih belum menerima penyelesaian itu.

    Pengerusi ACCC, Gina Cass-Gottlieb berkata pembayaran Qantas sebanyak AS$149 kepada pemegang tiket domestik dan AS$298 untuk tempahan antarabangsa adalah sebagai tambahan kepada penyelesaian lain yang telah disediakan oleh Qantas, termasuk penerbangan alternatif dan bayaran balik.

    “Kami gembira mendapat pengakuan daripada Qantas bahawa ia mengelirukan pelanggannya, dan persetujuannya bahawa denda yang besar diperlukan akibat perbuatan ini,” kata Cass-Gottlieb dalam satu kenyataan. – AP

    Sebuah pesawat penumpang Boeing 737 Qantas berlepas dari Lapangan Terbang Sydney, Australia. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...