Sunday, May 19, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Lawatan muhibah Hari Raya santuni penduduk ulu Belait

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Bagi menyambut dan memeriahkan lagi suasana bulan Syawal, tiga buah kementerian iaitu Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan lawatan muhibah sempena Hari Raya Aidilfitri di ulu Belait, hari ini.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, di sini, hadir mengetuai rombongan kementerian-kementerian berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Menyertai kunjungan Hari Raya Aidilfitri berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua Kampung Melilas, Pemangku Ketua Kampung Apak-Apak dan Pemangku Ketua Kampung Sukang, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann; Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap; serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dan ketua-ketua jabatan dari ketiga-tiga buah kementerian berkenaan.

    Kunjungan bermatlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan menyalurkan pemedulian daripada pihak kerajaan terhadap kesejahteraan dan kebajikan komuniti rumah panjang melalui gabungan tiga buah kementerian berkenaan.

    Di samping itu, ia juga bagi meninjau lebih dekat akan keadaan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan di kawasan pedalaman.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai semasa lawatan muhibah sempena Hari Raya Aidilfitri ke ulu Belait berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN, MTIC & KKBS
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN, MTIC & KKBS
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan buku-buku untuk sudut bacaan yang dirasmikan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN, MTIC & KKBS

    Kunjungan juga bagi mengeratkan pertalian kekeluargaan dan kemesraan dalam kalangan komuniti rumah panjang dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mengukuhkan jalinan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan penduduk dan masyarakat di ulu Belait.

    Rombongan mula-mula berkunjung ke Rumah Panjang Bang Taong, Kampung Apak-Apak di mana kunjungan yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda disambut oleh Ketua Rumah Panjang, Rantai Anak Jawa.

    Rombongan kemudian berkunjung ke Rumah Besar Kampung Sukang yang diketuai oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary yang disambut oleh Ketua Rumah Besar Kampung Sukang, Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian.

    Dari situ, rombongan meneruskan kunjungan ke Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas dengan kunjungan diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, yang dialu-alukan oleh Ketua Rumah Panjang Julangan Titah Kampung Melilas, Haji Mohd Yassin bin Abdul Rahman.

    Semasa kunjungan ke rumah-rumah panjang dan rumah besar berkenaan, rombongan telah berkesempatan untuk beramah mesra bersama penghuni-penghuni di samping berpeluang menyaksikan persembahan daripada para penghuni di sana.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut merasmikan sudut bacaan di rumah-rumah panjang dan rumah besar berkenaan dengan penyampaian buku-buku bacaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Juga menyampaikan buku-buku bacaan ialah wakil dari Pusat Dakwah Islamiah.

    Turut menjadi perhatian semasa kunjungan berkenaan ialah pengenalan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih dan talian tetap yang telah selesai dilaksanakan pada 26 April lalu oleh Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) di enam lokasi pedalaman Daerah Belait iaitu Kampung Bang Taong, Kampung Kukub, Kampung Buau, Kampung Biadong Ulu, Kampung Melilas dan Kampung Sukang.

    Dengan perkhidmatan Internet yang kini tersedia bagi kemudahan para penduduk kampung, pihak UNN juga mengambil kesempatan ini untuk mendemonstrasikan ujian kelajuan data mudah alih dan ujian kelajuan jalur lebar.

    Syarikat telekomunikasi seperti DST, Progresif dan imagine turut memperkenalkan pelan rangkaian yang boleh didapati oleh para penduduk kampung.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...