Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Sambutan raya bertema Silaturahim Aidilfitri meriah

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Dengan membawa tema Silaturahim Aidilfitri, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Luagan Dudok, kelmarin.

    Majlis yang diselajurkan dengan Sambutan Adau Gayoh oleh masyarakat Dusun Kampung Luagan Dudok itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir pada majlis yang juga disertai oleh Pasukan Basikal Sembatang, Kampung Luagan Dudok itu ialah Ketua Kampung Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok, Awang Dandarawi bin Haji Nassar.

    Pengerusi majlis, Haji Mohd Ali bin Haji Jamuddin dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai peningkatan kejayaan sambutan di mana pada sambutan pada kali ini, ia dapat menggabungkan masyarakat Dusun di Kampung Luagan Dudok, di samping penglibatan penduduk Kampung Bukit Panggal serta menggabungkan Pasukan Berbasikal Sembatang, Kampung Luagan Dudok.

    Semua yang menyertai sambutan berkenaan, ulasnya, telah menyumbangkan peranan dan tanggungjawab dari awal lagi bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar dan teratur.

    Beliau juga berkata bahawa penglibatan para penduduk kampung dalam memberikan sokongan menjadikan pemilihan tema Silaturahim Aidilfitri bertepatan, amat bersesuaian dan mencapai matlamatnya.

    Majlis diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh ahli jawatankuasa serta keluarga yang juga disertai oleh para tetamu. Sementara itu, masyarakat Dusun Kampung Luagan Dudok pula mempersembahkan tarian tradisional masyarakat Dusun di samping mempersembahkan lagu hari raya.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bergambar ramai dengan ahli-ahli MPK Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok semasa majlis sambutan tersebut. – GAMBAR SERAHAN MPK BUKIT PANGGAL DAN KAMPUNG LUAGAN DUDOK
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...