Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Israel halang ketua UNRWA memasuki Gaza kali ke-2

    BAITULMAQDIS, 6 MEI – Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA), berkata kelmarin pihak berkuasa Israel telah menghalangnya daripada memasuki Gaza buat kali kedua sejak perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.

    “Baru minggu ini, mereka telah menolak, untuk kali kedua, kemasukan saya ke Gaza di mana saya merancang untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan sekerja UNRWA termasuk mereka yang berada di barisan hadapan,” tulis Philippe Lazzarini di X, sebelum ini Twitter.

    Lazzarini telah mengunjungi Gaza sebanyak empat kali sejak perang meletus, termasuk pada 17 Mac lalu.

    “Pihak berkuasa Israel terus menolak akses kemanusiaan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya kelmarin.

    “Hanya dalam tempoh dua minggu lalu, kami telah merekodkan 10 insiden melibatkan tembakan ke arah konvoi, penahanan kakitangan PBB termasuk membuli, menanggalkan pakaian mereka, ugutan menggunakan senjata dan penangguhan di pusat pemeriksaan yang memaksa konvoi bergerak ketika gelap atau membatalkan pergerakan,” kata Lazzarini.

    Beliau juga menggesa ‘penyiasatan bebas’ terhadap tembakan roket yang membawa kepada penutupan lintasan bantuan utama Israel-Gaza.

    Pada hari yang sama, sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam mengaku bertanggungjawab atas pelancaran roket semalam, dengan menyatakan pejuang telah menyasarkan tentera Israel di kawasan lintasan Kerem Shalom.

    Pihak tentera Israel kemudian mengumumkan mereka telah menyerang pusat arahan dan kawalan Hamas di tengah Gaza semalam. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...