Wednesday, May 1, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Buat persediaan fizikal dan mental

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Minat dalam bidang ketenteraan sejak kecil menjadi kenyataan bagi Pegawai Kadet Awang Muhd Asyraf bin Haji Amin setelah ditauliahkan pada Upacara Sovereign’s Parade yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

    Lebih manis lagi, beliau juga penerima Anugerah Pedang Kehormatan, anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sebagai simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

    Ketika ditemu bual pada upacara berkenaan, Pegawai Kadet Awang Muhamad Asyraf mengongsikan bahawa beliau telah mula berminat dalam bidang ketenteraan sejak usia yang masih kecil memandangkan beliau kerap sekali menonton cerita berbentuk ketenteraan yang membuatkannya mula melakukan kajian mengenai hal ketenteraan di dalam dan luar negara.

    Graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti London South Bank, United Kingdom itu telah memperolehi keputusan yang cemerlang dengan
    penilaian tertinggi secara keseluruhan dan menunjukkan prestasi yang membanggakan di sepanjang latihan dengan kegigihan untuk terus maju dan sentiasa berfikiran positif.

    Menyentuh mengenai persiapan dalam menghadapi cabaran di sepanjang berlangsungnya latihan, beliau menjelaskan bahawa baginya persiapan mental adalah suatu yang sangat penting kerana latihan di sana bukan sahaja mencabar dirinya dari segi fizikal bahkan juga mental.

    Pegawai Kadet Awang Muhd Asyraf yang menerima Anugerah Pedang Kehormatan meminati bidang ketenteraan sejak kecil lagi.
    Penerima Anugerah Terbaik Akademik, Pegawai Kadet Wan Afifi berpen-dapat ketahanan fizikal dan mental amatlah penting untuk menempuhi latihan OCS.
    Pegawai Kadet Mohammad Norhafiz yang menerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera bersama keluarganya.
    Penerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, Pegawai Kadet Haji Mohammad Nasrullah bersama keluarga.

    “Oleh itu persiapan saya sebelum memulakan latihan adalah membaca biografi tentera luar negara, semasa latihan saya mengamalkan solat, berdoa dan berzikir semoga diberi kekuatan semasa latihan dan dilindungi daripada kecederaan,” kongsinya.

    Penerima Anugerah Terbaik Akademik, Pegawai Kadet Wan Afifi bin Wan Ali pula berpendapat, ketahanan fizikal dan mental amatlah penting untuk menempuhi latihan Sekolah Pegawai Kadet (OCS).

    “Dengan adanya rakan selatihan yang mendorong sesama sendiri, persiapan pentadbiran, latihan fizikal dan pembelajaran masa sendiri adalah lebih mudah,” tambah beliau apabila menyentuh mengenai persiapannya dalam menempuhi cabaran semasa mengikuti latihan berkenaan.

    Graduan Sarjana dalam Logistik dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dikurniakan anugerah tersebut berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik sepanjang latihan dijalankan.

    Beliau telah mempamerkan pengamatan, penilaian yang terperinci dan mampu menghasilkan mutu kerja yang amat membanggakan dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam semua prestasi akademik yang merangkumi ujian akademik, penulisan esei dan penyampaian taklimat dan pembentangan.

    Beliau memiliki gagasan pemikiran dan idea yang sangat baik berdasarkan penulisan yang kritis, jujur dan boleh dipercayai. Beliau juga sentiasa bekerja keras dan berusaha untuk terus meningkatkan pencapaian dalam mempersiapkan diri sebagai seorang pegawai tentera yang berintegriti, berpengetahuan dan berkaliber.

    Sementara itu, penerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera iaitu Pegawai Kadet Mohammad Norhafiz bin Mo-hamad Sani pula mengongsikan minatnya dalam bidang ketenteraan bermula daripada bapanya yang merupakan seorang tentera yang berkhidmat dalam ABDB.

    “Alhamdulillah, keluarga saya tidak pernah menghalang saya untuk mengejar impian saya, keluarga saya selalu memberikan saya sokongan penuh dalam apa-apa pilihan yang
    saya buat untuk mencapai kejayaan, selagi mana ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam,” jelasnya.

    Pada masa yang sama beliau menasihatkan para belia supaya jangan pernah berhenti berusaha setelah mendapatkan impian yang dihajati, akan tetapi teruslah berjuang dan berusaha untuk terus mendapatkan kecemerlangan di masa hadapan.

    Anugerah Terbaik Kemahi-ran Tentera diberikan berdasarkan pencapaian tertinggi dalam semua mata pelajaran Kemahiran Tentera, Kepimpinan, Pengurusan dan Perintah.

    Sepanjang latihan, graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah bagi Fiqh dan Kehakiman dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali itu dinilai telah dapat menguasai pelajaran-pelajaran teori dan praktikal kemahiran tentera dengan baik.

    Kefahamannya dalam kemahiran tentera ini jelas dipamerkan semasa latihan dan eksesais membuktikan kemampuan beliau untuk memahami ilmu pengetahuan yang telah diajarkan dengan cemerlang. Selain itu, beliau mempunyai keperibadian yang sentiasa fokus, berfikiran positif, berdisiplin, bertanggungjawab dan komited di sepanjang latihan di OCS.

    Satu lagi anugerah yang dikurniakan pada upacara berkenaan adalah Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani yang telah dianugerahkan kepada Pegawai Kadet (U) Haji Mohammad Nasrullah bin Haji Mohammad Hidin yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dari UBD.

    Beliau mendapat keputusan terbaik dalam semua penilaian ketahanan fizikal dan ketahanan tempur di sepanjang latihan pegawai kadet pengambilan ke-21 di samping mencatat masa larian 2.4km dalam masa 9 minit 17 saat.

    Beliau juga telah memperoleh tekan tubi sebanyak 79 kali dan pull-up sebanyak 23 kali dalam masa satu minit bagi setiap ujian, iaitu pencapaian yang konsisten dan tertinggi bagi pengambilan kali ini.

    Kecekalan, fokus dan sikap positif adalah pendorong utama bagi beliau mencapai ketahanan jasmani yang progresif. Beliau dengan teratur dapat mendisiplinkan diri untuk sentiasa membuat latihan-latihan fizikal dengan konsisten dan sentiasa membuat persiapan yang rapi dalam semua ujian-ujian yang dijalankan dengan usaha yang penuh maksima.

    “Walaupun saya merupakan anak yang pertama dalam keluarga yang berkecimpung dalam bidang ketenteraan, keluarga saya terutama sekali kedua ibu bapa telah banyak memberi sokongan sepanjang dalam latihan dengan doa mereka yang tidak putus, yang dalam pendapat saya merupakan kunci utama kejayaan saya menjadi seorang pegawai tentera,” kongsi Pegawai Kadet (U) Haji Mohammad Nasrullah ketika ditemu bual.

    Menyentuh mengenai persiapannya bagi menghadapi cabaran sepanjang menjalani latihan, jelasnya beliau telah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran kerana menjadi seorang pemimpin atau pegawai tentera bukanlah sesuatu yang mudah.

    “Adalah penting bagi kita untuk menanamkan sifat ingin belajar, sentiasa terbuka untuk memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan,” tambahnya.

    Dalam kesempatan itu, beliau turut memberikan pesanan kepada para belia di luar supaya sentiasa berusaha dan memberikan yang terbaik dalam apa jua yang dilakukan serta
    percaya bahawa sesudah kesusahan, pasti ada kemudahan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...