Tuesday, May 21, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Samsung lapor peningkatan keuntungan 10 kali ganda

    SEOUL, 30 APRIL – Samsung Electronics pada hari ini melaporkan peningkatan 10 kali ganda dalam keuntungan operasi untuk suku terakhir kerana pengembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) memacu lantunan semula dalam pasaran untuk cip memori komputer.

    Gergasi semikonduktor dan telefon pintar Korea Selatan itu berkata keuntungan operasinya bagi suku Jan-Mac mencecah 6.6 trilion won (AS$4.8 bilion), meningkat daripada 640 bilion won (AS$465 juta) yang diperolehnya dalam tempoh yang sama tahun lepas.

    Hasil meningkat hampir 13 peratus kepada 71.9 trilion won (AS$52 bilion), didorong oleh harga yang lebih tinggi untuk cip memori dan jualan kukuh telefon pintar Galaxy S24 utamanya, kata syarikat itu.

    Syarikat itu memperoleh 1.91 trilion won (AS$1.38 bilion) dalam keuntungan operasi daripada perniagaan semikonduktornya, menandakan keuntungan suku pertama bahagian itu sejak suku keempat 2022, ketika pasaran cip terus pulih daripada kemerosotan kitaran yang semakin teruk akibat pandemik COVID dan ketegangan perdagangan global.

    Samsung mengunjurkan pasaran cip memori kekal kukuh dalam beberapa bulan akan datang, didorong oleh pengembangan teknologi AI generatif, yang meningkatkan permintaan untuk kedua-dua cip konvensional yang digunakan dalam server dan cip lanjutan yang direka untuk memproses AI, termasuk memori lebar jalur tinggi (HBM).

    Menjawab permintaan yang lebih tinggi untuk cip AI, Samsung berkata ia memulakan pengeluaran besar-besaran cip HBM terbarunya bulan ini, yang dipanggil HBM3E 8-lapisan, dan ia merancang untuk mula mengeluarkan versi 12-lapisan cip itu pada suku kedua.

    “Pada separuh kedua 2024, keadaan perniagaan dijangka kekal positif dengan permintaan – terutamanya sekitar AI generatif – kekal kukuh, walaupun turun naik berterusan berkaitan trend makroekonomi dan isu geopolitik,” kata Samsung dalam satu kenyataan.

    Bagi telefon pintar, syarikat akan terus menumpukan pada meningkatkan jualan peranti perdananya, Galaxy S24, yang dibina dengan pelbagai ciri baharu yang didayakan oleh AI, termasuk terjemahan langsung semasa panggilan telefon dalam 13 bahasa dan 17 dialek.

    Samsung berkata ia merancang untuk mengembangkan ciri- ciri AI melangkaui S24 kepada peranti mudah alih lain kerana ia menjangkakan teknologi itu akan memacu pertumbuhan dalam pasaran telefon pintar dalam beberapa bulan akan datang di tengah-tengah peningkatan dalam perbelanjaan pengguna global. – AP

    Orang ramai melalui kedai Samsung Gangnam di Seoul, Korea Selatan, pada hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua maut ditikam di sekolah rendah China

    BEIJING, 20 MEI - Seorang wanita yang menghunus pisau buah telah membunuh dua orang dan mencederakan empat lagi hari ini di sebuah sekolah rendah...