Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    COVID: Kadar kes positif di Filipina meningkat

    MANILA, 2 MEI – Kadar positif COVID-19 di Metro Manila meningkat kepada 17.2 peratus pada 29 April daripada 10.2 peratus pada 22 April, menurut data yang dikeluarkan oleh penganalisis Filipina, hari ini.

    Guido David, profesor di Universiti Filipina dan felo Penyelidikan OCTA, berkata bahawa kadar positif Metro Manila, atau peratusan orang yang didapati positif COVID-19 dalam kalangan jumlah orang yang diuji, melanggar tanda aras 5 peratus Pertubuhan
    Kesihatan Sedunia (WHO) awal bulan ini.

    Kadar positif tujuh hari juga meningkat kepada dua digit di banyak wilayah, tambah David.

    Kadar positif bagi seluruh negara berlegar sekitar 15.2 peratus setakat 30 April, dengan kadar tertinggi dicatatkan di wilayah Camarines Sur pada 39.7 peratus, diikuti Rizal pada 28.5 peratus, Cavite pada 28.1 peratus dan Laguna pada 21.2 peratus.

    Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina berkata orang ramai tidak perlu panik di tengah-tengah peningkatan kadar positif, sambil menambah bahawa kadar kemasukan ke hospital kekal rendah di seluruh negara.

    Pegawai bertanggungjawab dan Timbalan Setiausaha DOH, Maria Rosario Vergeire berkata kadar positif bukan satu-satunya asas untuk menilai situasi COVID-19 dalam negara, dengan menyatakan bahawa ujian RT-PCR telah menurun dengan ketara.

    Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos membayangkan kemungkinan menggunakan pelitup muka di tengah-tengah peningkatan jangkitan.

    Filipina, dengan kira-kira 110 juta penduduk, mencatatkan hampir 4.1 juta kes COVID-19 yang disahkan setakat 30 April, termasuk 66,444 kematian. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 polis cedera, 1 maut akibat serangan beruang

    TOKYO, 19 MEI - Pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dengan beruang liar di timur laut negara itu selepas beberapa orang...