Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Alat timbangan JPD tepat, berdaftar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Alat timbangan jenis axle weight milik Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi didapati adalah sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, di bawah Seksyen 3(1).

    Dapatan berkenaan merupakan hasil daripada pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan alat timbangan jenis axle weight di Pos Kawalan Sungai Tujuh, Daerah Belait yang dikendalikan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, hari ini, penggunaan alat timbangan berkenaan adalah bagi memastikan kenderaan-kenderaan berat yang melalui pos-pos kawalan JPD tidak membawa lebih muatan yang dibenarkan iaitu 8 tan setiap axle.

    Merujuk Peraturan 161, Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68), mana-mana kenderaan yang membawa lebih muatan akan dikenakan kompaun.

    JPD mengingatkan mana-mana kenderaan berat yang memasuki Negara Brunei Darussalam supaya sentiasa mematuhi tahap muatan yang dibenarkan dengan sewajarnya.

    Dalam masa yang sama, jabatan berkenaan menyarankan semua kenderaan memiliki permit kenderaan yang sah dan pemandu kenderaan perlu mempunyai lesen memandu yang sah serta sentiasa mematuhi Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

    Para peniaga dan pengguna alat sukat dan timbang juga dikehendaki untuk sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah Seksyen 3(2); setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.

    Selain itu, mereka yang terbabit akan dikenakan hukuman denda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang yang itu boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang sedemikian adalah tidak sah.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi agensi-agensi yang berkenaan iaitu Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092 serta JPD melalui e-mel info ltd@jpd.gov,bn, talian 2451980 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 7181641.

    Pihak penguat kuasa semasa membuat pemeriksaan alat timbangan jenis axle weight di Pos Kawalan Sungai Tujuh, Daerah Belait. – Gambar serahan MOFE

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...