Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Delegasi Brunei hadiri Pameran DSA ke-18 dan NATSEC 2024

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah mengetuai delegasi Kementerian Pertahanan ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-18 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 ke-3, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Putrajaya Kuala Lumpur, Malaysia, dari 6 hingga 9 Mei.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di sini, antara yang menyertai rombongan itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Awang Mohd Aizul Hakim bin Pehin Orang Kaya Indra Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

    Upacara pembukaan DSA ke-18 2024 dan NATSEC Asia 2024 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

    Pameran DSA ke-18 2024 mempamerkan peralatan dan teknologi canggih dalam pertahanan darat, udara, dan laut, robot tempur, pertahanan dan keselamatan siber, bantuan bencana dan menyelamat, unmanned aerial vehicles (UAVs), dan perubatan medan tempur, bagi menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin industri global.

    Sementara itu, NATSEC Asia 2024 mempamerkan peralatan untuk penguatkuasaan undang-undang, penjagaan kesihatan medan tempur, platform berasaskan laut, dan sistem latihan, dengan matlamat untuk menangani cabaran keselamatan serantau serta memupuk kerjasama dalam bidang pertahanan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menandatangani lembaran kenangan semasa perjumpaan dua hala bersama Menteri Pertahanan Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama rombongan Negara Brunei Darussalam ke DSA ke-18 dan NATSEC 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    Yang Berhormat Pehin telah berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala secara berasingan dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

    Semasa perjumpaan berkenaan, Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan pelaksanaan DSA 2024 dan NATSEC 2024 pada tahun ini.

    Kedua-dua pihak menekankan hubungan pertahanan yang kukuh, membincangkan pelbagai isu dua hala dan strategik yang berkepentingan bersama dan seterusnya mengulangi komitmen untuk meluaskan lagi usaha sama pertahanan antara kedua-dua buah negara.

    Pameran DSA ke-18 2024 dan NATSEC Asia 2024 menyaksikan penyertaan lebih 1,200 buah syarikat dari 45 negara, memfokuskan kepada pembangunan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa.

    Edisi 2024 mengetengahkan pelbagai strategi baharu dalam menangani cabaran keselamatan semasa termasuk pertahanan siber.

    DSA dan NATSEC Asia menyediakan peluang untuk perkongsian pengetahuan dan idea, serta pertukaran bersama daripada negara-negara yang mengambil bahagian yang turut menyumbang secara signifikan ke arah masa depan yang lebih selamat dan terjamin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...