Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pertemuan ke-20 Lembaga Pengarah Pusat AHA

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Mesyuarat Lembaga Pengarah Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) ke-20 yang merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN(ACDM) dan Mesyuarat Berkaitan ke-44 telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Pusat AHA telah menyampaikan taklimat kepada ahli lembaga pengarah yang hadir mengenai perkembangan kemajuan pelaksanaan Pelan Kerja 2024 Pusat AHA serta membincangkan kemajuan dan pencapaian Pusat AHA bermula Oktober 2023 hingga April 2024.

    Dalam tempoh masa berkenaan, Pusat AHA telah melaporkan dua tindak balas bencana yang dijalankan dalam tempoh pelaporan iaitu penghantaran bantuan dari Sistem Logistik Kecemasan Bencana untuk ASEAN (DELSA) sebanyak dua kali kepada penduduk terjejas yang disebabkan oleh kejadian banjir yang telah berlaku di Thailand pada Disember 2023 dan Januari 2024.

    Sehingga Mei 2024, Pusat AHA telah menyempurnakan 63 peratus daripada rancangan tahunan Pusat AHA bagi 2024.

    Antara pencapaian utama yang telah dicapai dalam tempoh berkenaan ialah Kursus Induksi Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) ke-15 yang telah diadakan di Negara Brunei Darussalam pada Februari 2024.

    Colin Wee (kiri) dan Lee Yam Ming bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan oleh Kolonel (B) Muhammad Harrith.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selesai kursus berkenaan, seramai 38 orang peserta telah diiktiraf sebagai ahli ASEAN-ERAT dari negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA.

    Di samping itu, Pusat AHA juga menyatakan Pelancaran Pemantau Risiko ASEAN dan Kajian Pengurusan Bencana (ARMOR) Edisi ke-4 sebagai platform untuk menggabungkan pengetahuan dan corak gaya baharu yang timbul dalam landskap risiko bencana ASEAN bagi memaklumkan dasar dan seterusnya dalam membuat keputusan operasi.

    Pelancaran Portal Pengurusan Geran dan Perkongsian (ATLAS) yang berasaskan sesawang juga bertujuan untuk mengurus susunan kerjasama dari Portal Pusat AHA yang telah dilaksanakan pada Mac 2024.

    Pada majlis berkenaan, Lembaga Pengarah Pusat AHA telah menyaksikan penandatanganan memorandum hasrat (MoI) antara Pusat AHA dan HELP Logistics serta Direct Relief yang memberikan tumpuan kepada latihan logistik kemanusiaan bagi meningkatkan kapasiti logistik kemanusiaan serantau dan kerjasama yang berkaitan dengan penyediaan bantuan kemanusiaan dan pengetahuan bencana antara kedua-dua pihak berkenaan.

    Menandatangani bagi pihak Pusat AHA ialah Pengarah Eksekutif, Lee Yam Ming, bagi pihak HELP Logistics ialah Pengarah Serantau, Colin Wee bagi mewakili Pengarah Urusan, Sean Rafter dan Direct Relief diwakili oleh Thomas Tighe serta disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat AHA, Kolonel (B) Muhammad Harrith Rashidi bin Haji Muhammad Jamin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...