Saturday, November 30, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diana, Farid tidak lagi tinggal sebumbung

    Peguam syarie mewakili pelakon, Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan anak guamnya dan suaminya, Farid Kamil sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

    Bagaimanapun, Akberdin berkata, anak guamnya tidak berkongsi perkara itu dengan lebih terperinci, lapor BH Online.

    “Maklumat terperinci saya tak diberitahu, tapi Diana kata Farid sudah keluar daripada rumah. Tidak lagi tinggal sebumbung. Jadi, atas alasan ini kami failkan dua permohonan hari ini. Selepas ini komunikasi melalui peguam,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, kelmarin.

    Terdahulu, mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi permohonan rujuk dan perceraian yang difailkan Diana, hari ini.

    Akberdin berkata, Farid perlu memberikan kerjasama atas permohonan rujuk kerana pasangan itu sudah kembali bersama pada 9 September tahun lalu.

    Farid sudah keluar dari rumah dan kini sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan Diana dan anak-anak. – mStar

    “Rujuk ini tidak boleh dinafikan sebab sekarang mereka suami dan isteri, yang ini kena setuju, tak masuk akal kalau tak setuju.

    “Tapi, kalau Farid tak bersetuju dengan permohonan perceraian, kami akan terus ke peringkat Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan tiga kali peringkat hakam.

    “Selepas itu, mahkamah akan putuskan sama ada berlaku shiqaq berpanjangan dan panel akan putuskan sama ada lafazkan bagi pihak Farid atau sebaliknya,” katanya.

    Dalam masa sama, Akberdin memaklumkan, permohonan cerai terbabit difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

    Nama Diana dan Farid kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda