Wednesday, May 1, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Djokovic cipta sejarah

    PARIS, 12 JUN – Novak Djokovic kelmarin mencipta sejarah ‘luar biasa’ apabila dia merangkul gelaran Grand Slam lelaki ke-23, mengukuhkan kedudukannya untuk dinobatkan sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

    Pemain Serbia berusia 36 tahun itu menepis kegoyahan awal untuk menewaskan Casper Ruud dari Norway 7-6 (7/1), 6-3, 7-5 untuk memenangi kejuaraan Terbuka Perancis ketiga dan menamatkan rekod seri 22 gelaran Grand Slam yang pernah dikongsinya dengan saingan sepanjang kerjaya, Rafael Nadal.

    “Ia satu perasaan yang luar biasa untuk menang kali ke-23. Saya amat bersyukur dan bertuah kerana berdiri di sini dengan begitu banyak pencapaian yang luar biasa,” kata Djokovic.

    Kemenangan buat kali ketiga di Paris, selepas 2016 dan 2021, menambah kepada 10 gelaran Terbuka Australia yang dimiliki oleh Djokovic, tujuh di Wimbledon dan tiga di Terbuka AS.

    “Bukan secara kebetulan bahawa gelaran Grand Slam ke-23 saya telah tiba di sini kerana ia adalah yang paling sukar bagi saya untuk menang dalam karier saya. Saya sangat emosi sekarang dan saya sangat, sangat bangga,” tambah Djokovic.

    Djokovic mencium Trofi Musketeers semasa sesi bergambar selepas memenangi Terbuka Perancis Roland-Garros di Paris, kelmarin. – AFP

    Djokovic merupakan pemain lelaki pertama yang memenangi keempat-empat kejuaraan utama sekurang-kurangnya tiga kali dan sekali lagi separuh jalan ke kalendar Grand Slam pertama sejak Rod Laver pada 1969.

    Apabila ditanya sama ada dia boleh memenangi Grand Slam ke-24 dan ke-25, dia menjawab: “Ya, mengapa tidak. Saya berasa gembira tahun ini, saya memenangi dua Grand Slam yang saya mainkan (Melbourne dan Roland Garros). Jadi mengapa tidak?”

    “Saya sangat bermotivasi, sangat terinspirasi untuk terus mencipta sejarah dalam sukan ini.”

    Hanya Margaret Court dan Serena Williams dalam tenis wanita yang berjaya merangkul 23 gelaran Grand Slam. Rekod sepanjang masa ke-24 kini menjadi sasaran Djokovic pada Wimbledon bulan depan.

    “Saya akan cuba memenangi Wimbledon sekali lagi. Saya telah memenangi empat Wimbledon yang terakhir, saya berasa selesa di atas rumput,” kata Djokovic.

    Terdapat sedikit tanda bahawa Djokovic semakin perlahan. Dia kini menjadi juara Terbuka Perancis tertua tetapi 11 daripada trofi Grand Slamnya kini telah dimenangi selepas dia berusia 30 tahun.

    Jurulatihnya, Goran Ivanisevic memuji kecergasan fizikalnya, menyifatkan dia sebagai ‘Ninja’ di atas gelanggang. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...