Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Impak selawat bawa syafaat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Dengan keadaan dunia yang masih menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, munajat disertai selawat masih lagi relevan, malah mustahak, kerana impak selawat itu sedia difahami sebagai pembawa syafaat dan rahmat.

    Sehubungan dengan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam (SAW), malam ini, menyeru untuk terus memeriahkan Negara Brunei Darussalam dengan selawat.

    Baginda Sultan turut menekankan membesarkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, merupakan luahan kasih seluruh umat Islam kepada Baginda Rasulullah SAW walaupun kita belum atau tidak pernah bersua muka dengan Baginda.

    Kerana itu, titah Baginda lagi, di Negara Brunei Darussalam tidak pernah tarik diri daripada turut meraikan sambutan yang bersejarah ini dan salah satu amalan signifikan masyarakat Brunei apabila menjelangnya Rabiulawal ialah berdikir selama 12 malam berturut-turut dengan acara kemuncak perhimpunan.

    “Dikir sudah terbukti mampu untuk menyemarakkan sambutan sekali gus berhasil menyatupadukan masyarakat,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW. – Gambar oleh Infofoto

    Baginda seterusnya berharap, kelestarian berdikir ini akan kekal menjadi jati diri bangsa dan dengan membawakannya, ia seolah-olah lebih hampir kepada Baginda Rasulullah SAW serta bertambah tinggi harapan untuk mendapat syafaat Baginda.

    Baginda turut menjelaskan mengenai syafaat atau pertolongan, di mana orang-orang Islam memang sangat berhajat kepada syafaat Nabi Muhammad SAW, terutama pada hari kiamat kelak.

    Oleh itu, titah Baginda lagi, besarlah harapan kita untuk menjadi orang yang dikasihi oleh Rasulullah SAW supaya senang mendapat syafaatnya iaitu dengan memperbanyakkan selawat.

    Baginda turut percaya daripada kesan munajat selama ini, iaitu membaca Surah Yasin, berselawat dan berdoa, Allah SWT telah menurunkan rahmatNya yang melimpah-limpah kepada kita, berupa nikmat yang sukar diraih oleh mana-mana negara di dunia ini.

    Dalam usaha mempertingkatkan syiar dan pengetahuan agama di negara ini, Baginda mengambil maklum bahawa Pusat Dakwah Islamiah sedang mengemaskinikan program latihan daie melalui Skim Tarbiah Daie.

    Dengan adanya skim tersebut, Baginda berharap generasi baharu dalam kalangan anak-anak tempatan akan lebih berminat terhadap bidang dakwah untuk menjadi penceramah atau pendakwah, sejajar dengan perjalanan Rasulullah SAW yang tidak pernah berhenti berdakwah hingga ke akhir hayat Baginda.

    Melalui Skim Tarbiyah Daie ini, titah Baginda lagi, dapatlah daie daripada kalangan anak-anak tempatan mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran hingga mampu untuk berdaya saing dengan penceramah luar negara.

    “Azam ini janganlah dilunturkan hingga kita benar-benar berhasil mencapainya,” tekan Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...