Monday, May 6, 2024
26.2 C
Brunei

    -

    Juventus, Barcelona sama garang

    LOS ANGELES, 27 JULAI – Ousmane Dembele dan Moise Kean masing-masing menyumbang dua gol ketika Barcelona dan Juventus bertarung dalam perlawanan persahabatan pramusim Amerika Syarikat (AS) yang berkesudahan seri 2-2 di Dallas kelmarin.

    Pemain sayap Perancis, Dembele meletakkan Barcelona di hadapan perlawanan selepas 34 minit sepak mula di Cotton Bowl dengan gerakan menarik melepasi pemain Juventus, Juan Cuadrado dan Sandro sebelum menewaskan penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny untuk menjadikan kedudukan 1-0.

    Juventus tanpa melengahkan masa, bangkit semula lima minit kemudian dengan pemain sayap Colombia, Cuadrado menebus kesalahannya dengan hantaran lintang rendah tepat yang menemui Kean yang menerjah masuk melepasi penjaga gol Barcelona, ​​Marc-Andre ter Stegen.

    Barcelona tidak lama kemudian kembali mendahului, dan sekali lagi gol dihasilkan ketika Dembele menghukum benteng pertahanan Juventus yang lemah.

    Kecuaian Cuadrado sekali lagi mengakibatkan Dembele melepasi terjahan pemain Amerika Selatan itu dan kemudian melepasi Manuel Locatelli untuk merembat menewaskan Szczesny bagi mendahului 2-1.

    Aksi Moise Kean (kanan) merebut tandukan bola pada separuh masa pertama perlawanan persahabatan antarabangsa 2022 di Cotton Bowl di Dallas, Texas kelmarin. – AFP

    Sementara itu, jurulatih Barcelona, ​​Xavi Hernandez melakukan banyak pertukaran pada separuh masa pertama, dengan Dembele memberi laluan kepada pemain baharu dari Brazil, Raphina.

    Bekas penyerang Leeds itu segera menunjukkan bisanya dengan membuat percubaan jarak jauh yang ditepis Szczesny melepasi palang.

    Walaupun Barcelona mempamerkan permainan yang cemerlang pada separuh masa, Juventus masih enggan tunduk lalu kembali menjaringkan gol kedua menerusi Kean yang memanfaatkan rebound pada minit ke-52 perlawanan.

    Barcelona mencipta dua peluang keemasan bagi gol kemenangan, namun kedua-duanya tersasar dalam masa beberapa saat pada minit ke-68.

    Raphina turut menggegarkan palang Juventus dengan sepakan percuma yang melencong dan daripada rembatan lencong Ansu Fati yang juga sekadar terkena tiang.

    Manakala seorang lagi pemain baharu Barcelona, ​​Robert Lewandowski dilihat masih bergelut untuk membuat impak sebelum digantikan pada pertengahan babak kedua. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...