Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Kebakaran musnah tempat perlindungan warga Ukraine

    BERLIN, 20 OKT – Kebakaran telah memusnahkan tempat perlindungan pelarian Ukraine di Pantai Baltic Jerman, mungkin dibakar, kata seorang pegawai kerajaan hari ini, memberi amaran bahawa sebarang keganasan terhadap orang yang menyelamatkan diri daripada peperangan tidak akan diterima.

    Seramai 14 penghuni dan tiga pekerja yang tinggal di pusat itu diselamatkan apabila bekas hotel di negeri timur laut Mecklenburg-Pomerania terbakar malam kelmarin, kata polis tempatan.

    Namun tiada siapa yang cedera, dan pelarian dibawa ke tempat perlindungan lain, menurut pihak berkuasa.

    “Satu perkara mesti jelas kepada semua orang: Orang yang melarikan diri dari perang memerlukan perlindungan dan sokongan kita. Kami tidak bertolak ansur dengan hasutan dan keganasan,” kata gabenor negeri itu, Manuela Schwesig.

    Pihak polis sedang menyiasat punca kebakaran, lapor agensi berita Jerman dpa.

    Gambar fail menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran di sebuah hotel tempat pelarian dari Ukraine ditempatkan di Gross Stroemkendorf, Jerman. – AP

    Pada Isnin, polis menerima laporan grafiti yang menggambarkan swastika Nazi di kawasan pintu masuk tempat perlindungan tersebut.

    Sama ada grafiti itu berkaitan dengan kebakaran masih belum diketahui, kata polis.

    Lebih 1 juta pelarian daripada Ukraine, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, pergi ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan setelah hampir lapan bulan Rusia menyerang negara mereka.

    Pelarian pada mulanya disambut dengan mesra, dan kebanyakkan keluarga Jerman membuka rumah mereka untuk melindungi mereka.

    Walau bagaimanapun, minoriti yang lantang telah menyatakan permusuhan terhadap mereka dan warga asing yang tiba di negara ini. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...