Monday, May 6, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kes TB di Brunei menurun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Di Negara Brunei Darussalam, kadar insiden penyakit Tuberkulosis (TB) telah menurun daripada 55 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021 kepada 51 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2022.

    Antara penyumbang di sebalik penurunan jumlah kes yang dikesan adalah peningkatan pengawasan, surveilans dan juga sistem pengesanan kontak rapat pesakit yang tepat dan cepat.

    Pengesanan kontak akan dapat mencegah penularan jangkitan kepada orang terdekat dengan kes di mana jangkitan dan kematian akibat TB akan dapat dicegah.

    “Salah satu strategi baharu yang telah dilaksanakan dengan jayanya di negara ini ialah penggunaan video DOTS yang memudahkan pemantauan pesakit yang mengambil ubat TB melalui aplikasi BruHealth.

    “Inisiatif ini bukan saja memudahkan para pesakit menjalani rawatan dengan berke-san tetapi juga sangat berguna bagi pihak Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan yang teliti dan rapi.”

    Perkara itu diterangkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar – Kem. Kesihatan) dalam perutusan sempena sambutan Hari TB Sedunia 2023.

    Hari TB Sedunia disambut pada setiap 24 Mac dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen terhadap usaha-usaha pencegahan dan pengawalan penyakit TB.

    Yang Berhormat Dato mendedahkan bahawa menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit TB menyebabkan kira-kira 1.5 juta kematian setiap tahun, kebanyakannya di negara-negara yang sedang membangun.

    Bagi 2023, WHO dan Stop TB Partnership telah memilih Yes! We can end TB sebagai tema sambutan di mana tema itu dipilih untuk menarik perhatian kepada penyakit TB dan
    inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan secara global untuk menamatkan TB menjelang 2030 iaitu sebagai salah satu matlamat mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Selain itu, ia juga menumpukan ke arah aktiviti-aktiviti pemulihan yang dilaksanakan pada 2022 oleh kebanyakan negara yang terkesan dengan beban penyakit TB yang tinggi susulan pandemik COVID.

    Tema itu juga menjurus kepada memastikan akses kepada diagnostik terkini, rejimen rawatan baru, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam menangani penyakit TB.
    Dalam perutusannya lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kadar kes kekebalan kuman TB terhadap ubat-ubatan anti-TB (Multi-drug resistant TB dan extensively drug-resistant TB) serta kes jangkitan TB dalam kalangan pesakit HIV (TB-HIV) di negara ini adalah sangat rendah.

    Kedua-dua perkara itu, tambahnya, merupakan dua cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia pada masa sekarang.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan sangat komited dan akan terus proaktif dalam memastikan cabaran-cabaran tersebut sentiasa terkawal di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...