Friday, May 3, 2024
28.3 C
Brunei

    -

    Komited tingkat hubungan pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) terus komited untuk menubuhkan kerjasama strategik dengan industri, komuniti dan pihak antarabangsa ke arah pembangunan sebuah institusi pendidikan teknikal yang dinamik yang akan memajukan IBTE secara strategik di peringkat kebangsaan serta serantau.

    Ke arah itu, penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara IBTE dan Institut Yunus Emre, Turkiye, bukan sahaja akan menubuhkan rangka kerja undang-undang bagi kerjasama jangka panjang di antara kedua-dua buah institut tetapi ia juga adalah selaras dengan Matlamat Strategik 3 IBTE iaitu Kerjasama Strategik Efektif dengan Pihak-pihak Berkepentingan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Pengiran Hajah Hamidah binti Pengiran Haji Hamid dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan MoU antara IBTE dan Institut Yunus Emre, Turkiye yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy; Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, pegawai-pegawai kanan dari IBTE dan Kedutaan Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Pengiran Hajah Hamidah berkata, MoU berkenaan merupakan laluan dan peluang bagi prospek serta pertukaran bermakna antara warga dan Republik Turkiye serta bagi mereka untuk mengenali negara dan warga Brunei.

    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy (kiri) dan Dr Haji Mohd Zamri (dua dari kanan) menandatangani MoU di antara IBTE dan Institut Yunus Emre, Turkiye, kelmarin.
    TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dan Dr Haji Mohd Zamri bergambar ramai bersama pegawai-pegawai dari IBTE dan Kedutaan Republik Turkiye di Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan.

    “Kami berharap kolaborasi ini akan memberikan pendedahan kepada ahli akademik dan pelajar kami, untuk meluaskan pandangan mereka dan untuk ingin tahu dengan lebih baik mengenai dunia yang mempunyai pelbagai budaya serta negara,” tambahnya.

    Sementara itu, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy dalam ucapannya menyatakan, MoU itu akan memberikan lebih banyak pendedahan dan peluang bagi sekolah vokasional kedua-dua buah negara.

    MoU itu, tambahnya juga akan membuka laluan bagi kolaborasi antara tenaga pengajar kedua-dua belah pihak dalam bidang yang meluas untuk menghasilkan kertas-kertas kerja, buku dan cadangan projek bersama.

    Beliau turut menyatakan bahawa penandatanganan memorandum itu setentunya akan melancarkan era baharu bagi institusi pendidikan antara kedua-dua buah negara sahabat berkenaan.

    Pada masa yang sama, ia juga mengukuhkan kerjasama akademik dan membangunkan interaksi antara masyarakat di mana kedua-dua perkara itu merupakan antara empat tunggak utama dalam dasar luar negara Republik Turkiye, Asia Anew.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan MoU dengan menandatangani bagi pihak IBTE ialah Dr Haji Mohd Zamri dan disaksikan oleh Pengiran Hajah Hamidah serta bagi pihak Institut Yunus Emre ialah TYT Profesor Dr Hamit Ersoy.

    Penandatanganan MoU berkenaan merasmikan kolaborasi antara IBTE dan Institut Yunus Emre dari segi mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kerjasama serta pertukaran akademik dalam pengajaran, latihan, penyelidikan dan pengawasan serta mengukuhkan hubungan antara kedua-dua buah institusi menerusi pertukaran kebudayaan.

    Sebagai sebahagian daripada perjanjian berkenaan, IBTE akan menawarkan kursus Bahasa Turkiye bagi kakitangannya serta kelas-kelas yang diadakan di Kedutaan Republik Turkiye, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Di samping itu, Institut Yunus Emre juga berhasrat untuk mengembangkan lagi kerjasama bagi kursus-kursus bahasa dan kebudayaan dengan institusi-institusi pendidikan yang berminat di Negara Brunei Darussalam termasuk sekolah-sekolah kerajaan dan swasta.

    Mengulas mengenai MoU itu, TYT Profesor Dr Hamit Ersoy berkata ia merupakan MoU ketiga yang telah dimeterai antara Institut Yunus Emre dengan institusi pendidikan Brunei.

    Beliau menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan pendidikan antara kedua-dua buah negara dengan matlamat untuk memupuk interaksi sosial lebih inovatif antara warga Brunei dan Turkiye.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    20 maut bas jatuh dalam gaung

    KHAPLU, 3 MEI - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di wilayah pergunungan utara Pakistan, kata polis hari ini. Dalam...