LIVERPOOL, 1 DIS – Pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate, meluahkan rasa kecewa selepas mengalami kecederaan lutut yang akan menghalangnya daripada beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City hari ini.
Konate mengalami kecederaan tersebut pada saat-saat akhir dalam kemenangan 2-0, Liverpool ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara selepas pertembungan dengan penyerang Brazil, Endrick.
Pemain antarabangsa Perancis itu telah menjadi tonggak utama dalam prestasi cemerlang Liverpool di bawah kendalian Arne Slot musim ini. Ketiadaannya dijangka memberi kesan besar kepada pasukan menjelang perlawanan penting itu.
Liverpool kini berada lapan mata di hadapan di puncak Liga Perdana Inggeris dan telah memenangi kesemua lima perlawanan Liga Juara-Juara mereka.
Ibrahima Konate telah menjadi pemain utama, memulakan setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sejak menggantikan Jarell Quansah pada separuh masa perlawanan pembukaan musim menentang Ipswich.
Liverpool belum mengumumkan tempoh sebenar Konate akan diketepikan, tetapi laporan menyebut bahawa dia mungkin terpaksa berehat sehingga enam minggu.
“Begitu mengecewakan untuk mengalami kecederaan ini di penghujung perlawanan yang hebat pada malam Rabu,” tulis Ibrahima Konate di Instagram.
“Namun, kini saya akan memulakan proses pemulihan, dan satu perkara yang saya janji ialah saya akan kembali dan menjadi yang terbaik sekali lagi. Terima kasih atas sokongan luar biasa di Anfield,” tambahnya.
Pemain antarabangsa England, Joe Gomez, dijangka akan menggantikan Konate dengan Jarell Quansah sebagai pilihan sokongan. – AFP