Tuesday, April 30, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Majikan cari pekerja? Atau pekerja cari majikan?

    Saya terpanggil untuk membalas surat kiriman Minah yang bertajuk ‘Anak muda tempatan sudah pupus?’ baru-baru ini.

    Seperti Minah, saya mewakili syarikat-syarikat swasta di Negara Brunei Darussalam juga ingin meluahkan rasa kecewa saya. Namun, penyesalan tersebut saya tujukan khas buat anak tempatan di Brunei.

    Secara ringkasnya, ya, kami cenderung untuk mengambil pekerja dari luar negara. Bukan kerana kami tidak mahu memberikan peluang pekerjaan kepada warganegara sendiri.

    Bukan kerana Brunei sudah kekurangan anak tempatan. Bukan kerana anak tempatan Brunei tidak mempunyai kelayakan. Bukan juga kerana kami tidak mahu berlaku adil kepada warganegara sendiri.

    Wahai Minah, sedarlah bahawa punca utama saya luahkan rasa kecewa ini adalah berkisar tentang sikap individu itu sendiri. Ya, saya ulang, sikap anak tempatan yang begitu mengecewakan saya sehingga saya terpaksa menggaji pekerja luar bagi membolehkan perniagaan saya terus dijalankan.

    Wahai Minah, majikan mana yang tidak kecewa jika pekerjanya sesuka hati datang ke tempat kerja dan balik ke rumah mengikut waktunya sendiri? Majikan mana yang tidak kecewa jika pekerjanya sesuka hati mengambil cuti sakit walhal beliau tidak sakit pun? Majikan mana yang tidak kecewa jika pekerjanya sesuka hati meletak jawatan (kerana mendapat tawaran kerja yang lebih lumayan di agensi kerajaan) tanpa memberikan notis satu bulan? Belum lagi jika diberikan tugasan, hasil kerja yang disiapkan adalah kurang memuaskan. Apanya urang, “asal ada saja, asal siap saja”. Apabila ditegur oleh rakan sekerja yang lebih senior, pandai pula melawan balik. Seperti mencurahkan air ke daun keladi. Nasihat demi nasihat diberikan, begitu juga dengan peringatan dan amaran, langsung tidak diendahkan. Satu persatu peluang telah diberikan, mujur saja kami tidak memberhentikan mereka. Apa lagi yang kamu mahukan, Minah?

    Wahai Minah, kamu kecewa kerana kebanyakan pekerja dari luar negara diberikan keutamaan untuk memegang jawatan tinggi. Sementara saya kecewa kerana kami kekurangan individu tempatan yang berkualiti untuk memimpin syarikat. Minah, jika kamu jadi saya, adakah kamu yakin syarikat dapat bertahan di bawah tampuk kepimpinan individu yang tidak layak ini? Pastinya kamu juga tidak ingin melihat syarikat kamu sendiri lingkup bukan? Maka, sudah tentu kamu sendiri pun tidak akan melantik individu tempatan yang kurang berkualiti sebagai pemimpin syarikat. Jadi, suka ataupun tidak, terpaksalah jua kitani melantik orang luar yang jauh lebih berpengalaman dan berpengetahuan, bukan?

    Sebagai majikan, kami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat untuk memastikan setiap pekerja kami menerima gaji mereka pada setiap hujung bulan. Ia (duit) tidak turun begitu sahaja dari langit, Minah. Ketahuilah, kami terpaksa berusaha memerah kepala otak untuk memikirkan cara bagaimana syarikat dapat terus hidup, membuat keuntungan dan berjalan dengan lancar. Ia tidak mudah.

    Maka kamu, sebagai pekerja, jalankanlah tanggungjawab kamu sebaik-baiknya. Saya tidak menolak terdapat individu tempatan yang cukup berkualiti, tapi ia adalah satu dalam seribu. Jadilah seperti individu tersebut, Minah.

    Tauke Most Wanted Wagyu Restaurant

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...