Monday, May 6, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Man United selesa benam Burnley

    MANCHESTER, 31 DIS – Manchester United memperoleh suntikan semangat apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Burnley hari ini sekali gus menambah keyakinan mereka untuk menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan empat terbaik.

    Scott McTominay meletakkan United di depan di awal permainan sebelum gol sendiri Ben Mee semakin mengukuhkan kedudukan Red Devils dan Cristiano Ronaldo memastikan skuad bimbingan Ralph Rangnick selesa mendahului 3-0.

    Pemain sayap veteran, Aaron Lennon merapatkan jurang minit ke-38 di Old Trafford untuk memberikan harapan kepada skuad bimbingan Sean Dyche tetapi United menguasai permainan pada separuh masa kedua.

    United kini ketinggalan empat mata di belakang Arsenal dan masih kurang satu perlawanan selepas Rangnick berang dengan pasukannya yang meraih keputusan mengecewakan ketika bertemu Newcastle di tempat lawan.

    Pengurus dari Jerman itu berkata beliau perlu mengukuhkan benteng pertahanan namun pada masa sama berkata ia masih lagi persembahan yang terpuji daripada barisan pemainnya.

    Cristiano Ronaldo (kiri) berebut mendapatkan bola dengan pemain Burnley, Charlie Taylor semasa perlawanan di antara Manchester United dan Burnley di Old Trafford di Manchester, England pada 30 Disember. – AP

    “Bagi kami ia adalah mengenai proses pembangunan pasukan. Oleh itu, amat penting mencatatkan kemenangan hari ini.

    “Kini kami melalui lapan perlawanan berturut-turut tanpa tewas dan sejak saya tiba, kami sudah mencatat tiga kemenangan dan satu seri dalam saingan liga yang mana ia cukup bagus,” katanya.

    Rangnick yang hadir selaku pengurus sementara, masih memegang rekod tanpa kalah sejak mengambil alih tugas itu daripada Ole Gunnar Solskjaer.

    Pada perlawanan hari ini, dia melakukan enam perubahan terutama di bahagian pertahanan serta memberi peluang kepada Jadon Sancho dan Edinson Cavani di bahagian serangan.

    Bruno Fernandes digantung perlawanan selepas meraih kad kuning kelima pada saingan liga musim ini.

    Burnley berdepan beberapa perlawanan yang terpaksa ditangguhkan berikutan penularan COVID-19 sekali gus menjejaskan rentak permainan mereka di Old Trafford.

    Dyche yang menyaksikan barisan pemainnya tidak beraksi sejak 12 Disember lalu, sebelum sepak mula mengesahkan bahawa Josh Brownhill, Nick Pope, Jay Rodriguez dan Kevin Long tidak dapat beraksi kerana positif COVID-19. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kerjasama pragmatik China-Serbia berasaskan persahabatan sejati – Presiden Serbia

    BEIJING, 6 MEI - Hubungan Serbia-China yang mendahului negara lain tidak dapat berpisah daripada kerjasama pragmatik dan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, kata Presiden...