Thursday, November 7, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Milan kejutkan Madrid

    MADRID, 6 NOV – Pemenang Liga Juara-Juara, Real Madrid tewas 3-1 di tempat sendiri kepada AC Milan kelmarin dalam peringkat kumpulan dengan penyerang Kylian Mbappe sekali lagi gagal menjaringkan gol.

    Kapten Perancis yang berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam enam perlawanan terakhirnya untuk Madrid dalam semua pertandingan, termasuk tiga kekalahan untuk Los Blancos.

    Malick Thiaw membuka jaringan untuk pasukan Itali itu sebelum Vinicius Junior menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti untuk pasukan tuan rumah.

    Alvaro Morata menjaringkan gol menentang bekas pasukannya untuk mengembalikan kelebihan buat Milan sebelum rehat dan Tijjani Reijnders menjaringkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan Milan.

    Madrid gagal bangkit selepas kekalahan 4-0 kepada Barcelona pada penghujung Oktober, yang merupakan pertemuan terakhir mereka selepas perlawanan La Liga menentang Valencia pada Sabtu lalu ditangguhkan kerana banjir teruk yang melanda timur Sepanyol itu.

    Pemain dari kedua-dua pasukan memakai baju-T tertera ‘Kami semua Valencia’ sebelum perlawanan, sementara satu kawasan penonton menayangkan bendera besar wilayah Valencia untuk menghormati saat bertafakur selama satu minit.

    Dalam 90 minit selepas itu, Milan kendalian Paulo Fonseca, yang kini berada di tangga ketujuh Serie A, berjaya mengatasi Madrid.

    “Kami sedang melalui tempoh di mana pihak lawan kerap menghukum kami, dan kami perlu terus bekerja keras supaya perkara ini tidak berulang,” kata pertahanan Madrid, Lucas Vazquez kepada Movistar.

    Los Blancos telah dibolosi sembilan gol dalam tiga perlawanan terakhir di tempat sendiri. – AFP

    Aksi Morata (kanan) semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara di stadium Santiago Bernabeu di Madrid pada 5 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda