Friday, May 3, 2024
28.3 C
Brunei

    -

    Pelajar adalah ‘duta’ kepada negara

    Gambar oleh Infofoto

    AMMAN, JORDAN, 1 JUN – Meskipun jumlah pelajar di Jordan adalah kecil, namun ia sangat bermakna kepada negara, oleh itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyifatkan para pelajar berkenaan adalah bertaraf ‘duta’ kepada negara, bagi menjalinkan hubungan mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Jordan.

    Baginda selanjutnya bertitah bahawa siapa yang mengenali para pelajar kita, dengan sendirinya adalah mengenali Brunei. Jika elok mereka, maka eloklah Brunei. Begitu juga sebaliknya, kalau buruk mereka, maka buruklah Brunei. Untuk itu, para pelajar hendaklah mengutamakan akhlak yang baik, dengan agama pula menjadi pegangan yang kuat.

    Baginda Sultan menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di kerajaan Hasyimiah Jordan, yang berlangsung di Hotel InterContinental Amman, Jordan, hari ini.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Menyentuh mengenai terlalu banyak anasir yang bergiat untuk membawa kepada keburukan pada era globalisasi ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan bahawa anasir-anasir ini ada di mana-mana, seperti di dalam rumah, sepejabat atau sekuliah dengan kita, atau di mana sahaja, sedang mereka itu, tidak mudah untuk dikenali, kecuali kalau ada petunjuk dan pertolongan daripada Allah, maka barulah kita akan terselamat daripada kejahatan mereka.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan beramah mesra dengan pelajar dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang berada di kerajaan Hasyimiah Jordan, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra bersama penuntut serta penduduk Negara Brunei Darussalam di Jordan, kelmarin.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di kerajaan Hasyimiah Jordan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di kerajaan Hasyimiah Jordan.

    Untuk mendapatkan keselamatan itu, hendaklah memenuhi pensyaratan taat kepada Allah.

    Ke arah ini, Baginda berharap agar para pelajar akan memenuhi persyaratan ini bagi memperolehi jalan keluar dan terhindar daripada segala kesusahan, sekali gus akan lebih mudah untuk mencapai kejayaan dalam pengajian, sebagai anugerah, atau balasan daripada ketaatan mereka.

    Kejayaan para pelajar, titah Baginda, adalah sentiasa diinginkan kerana mereka sangat diperlukan oleh negara sebagai agen pembangunan yang berkesan, sama ada pembangunan kebendaan mahupun pembangunan di bidang kerohanian.

    Pada penghujung titah, Baginda mengingatkan bahawa para pelajar berhadapan dengan masa depan yang serba sukar. Oleh itu, sumber tenaga manusia yang hebat adalah sangat diperlukan untuk menghadapinya, di mana sumber tenaga ini boleh didapati melalui pusat-pusat pengajian tinggi yang diiktiraf.

    Dalam hubungan ini, para pelajar disifatkan sebagai orang-orang yang beruntung kerana berpeluang untuk menjadi pelajar di pusat-pusat pengajian tersebut, sekali gus berpeluang untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Untuk itu, jangan disia-siakan peluang berkenaan kerana peluang hanya datang sekali sahaja.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di hotel berkenaan dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke kerajaan Hasyimiah Jordan, Tuan Yang Terutama Haji Mahadi bin Haji Maidin; Yang Di-Pertua Persatuan Pelajar Negara Brunei Darussalam (BSU) di Jordan, Awang Muhammad Hisyamuddin bin Haji Mahadini serta Naib Yang Di-Pertua BSU, Awang Muhammad Khairul Azmi bin Haji Hassan.

    Sejurus keberangkatan Baginda Sultan ke majlis berkenaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Awang Amirul Amin bin Abdullah dari Universiti Jordan.

    Yang Di-Pertua BSU di Jordan, dalam sembah alu-aluannya menyembahkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Baginda atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk mengikuti pengajian di luar negara, khususnya di Jordan termasuk dihulurkan kemudahan-kemudahan seperti pengurniaan elaun bagi membiayai perbelanjaan tempat tinggal, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan perbelanjaan yang berkaitan.

    Dalam menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Haflut Takharruj ke-5 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengenai peranan graduan untuk menjamin survival agama dan negara serta penggunaan dan penguasaan bahasa Arab, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa Al-Quran, Yang Di-Pertua BSU menekankan bahawa peluang belajar dengan masyaikh dan ulama di pusat pengajian tinggi Islam di Jordan adalah sangat besar ertinya, agar para penuntut menjadi graduan yang memiliki ilmu pengetahuan agama yang mantap yang dapat mengimbangkan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

    Manakala, pengalaman berharga belajar dan hidup dalam suasana dan persekitaran di mana bahasa Arab adalah bahasa rasmi, dapat membantu dalam mempraktikkan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa Arab. Oleh yang demikian, bahasa Arab merupakan kunci bagi memahami rahsia-rahsia ilmu yang terdapat dalam Al-Quran, Hadith Nabawi dan kitab-kitab muktabar.

    Akhir sekali, Yang Di-Pertua BSU menyatakan bahawa segala ilmu dan kemahiran serta pengalaman belajar yang diperolehi di luar negara tersebut akan dinilai untuk diguna pakai demi menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan masyarakat, bangsa, agama dan Negara Brunei Darussalam.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berangkat bercemar duli dan beramah mesra bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk pegawai-pegawai kerajaan serta para mahasiswa dan mahasiswi yang sedang mengikuti pengajian di universiti-universiti terkemuka di Jordan khususnya dalam pengajian Islam, fiqh, syariah, usuluddin dan kewangan Islam.

    Majlis itu, antara lainnya, memberikan peluang keemasan kepada mereka untuk berjunjung ziarah di samping mengongsikan perkembangan pengajian masing-masing kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    20 maut bas jatuh dalam gaung

    KHAPLU, 3 MEI - Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di wilayah pergunungan utara Pakistan, kata polis hari ini. Dalam...