Sunday, December 1, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PRU Thailand: Senator mungkin jadi ‘Kingmaker’

    BANGKOK, 12 MEI – Kira-kira 52 juta pengundi berdaftar akan mengundi pada Pilihan  Raya Umum (PRU) Thailand pada Ahad ini, sehingga kini keputusan sukar diramalkan
    dan mampukah 250 orang senator yang dilantik oleh Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha berperanan sebagai kingmaker.

    PRU kali ini menjadi medan pertempuran sengit antara sekutu demokratik dan parti protentera, kali pertama berlaku sejak protes besar-besaran diketuai oleh belia pada 2020 dan yang kedua sejak rampasan kuasa tentera pada 2014 yang menyaksikan penyingkiran kerajaan dipilih. 

    Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, mendahului tinjauan dan menyasarkan kemenangan besar. 

    Pemimpinnya Paetongtarn Shinawatra, 36, anak perempuan Thaksin, dilihat sebagai calon perdana menteri yang paling mendapat perhatian. 

    Selain itu, seorang lagi ketua pembangkang – Pemimpin Parti Move Forward, Pita
    Limjaroenrat, 42, turut dilihat sebagai calon pilihan sebagai perdana menteri.  

    Paetongtarn Shinawatra (tengah) dan mogul hartanah Srettha Thavisin (kiri), dua daripada tiga calon parti pembangkang Pheu Thai untuk menjadi perdana menteri seterusnya, menyapa penyokong semasa perhimpunan besar akhir kempen pilihan raya di Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP

    Prayuth yang mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa 2014 dan menerajui kerajaan Thailand selama lebih lapan tahun sedang mengintai penggal baharu, tetapi kelihatan agak ketinggalan.

    Beliau calon perdana menteri untuk Parti United Thai Nation (juga dikenali sebagai Ruam Thai Sang Chart).

    Masih terlalu awal untuk membuat ramalan kerana memenangi jumlah kerusi yang banyak belum menjamin mana-mana parti politik atau gabungan akan dapat membentuk kerajaan baharu.

    “Parti Pheu Thai pasti akan memenangi pilihan raya itu. Bagaimanapun, 250 senator yang dilantik oleh junta tetap mempunyai suara dalam pemilihan perdana menteri.

    “Sudah tentu suatu yang meragukan jika mana-mana calon yang bukan projunta akan menjadi perdana menteri,” kata pensyarah di Universiti Naresuan Thailand, Paul Chambers, kepada Bernama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda