Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Rusia serang, tawan loji nuklear Ukraine

    KYIV, 4 MAC – Ukraine menuduh Kremlin satu “keganasan nuklear” dan Barat menyatakan kengerian hari ini, selepas loji kuasa atom terbesar Eropah diserang dan diambil alih oleh tentera Rusia.

    Letupan menerangi langit malam ketika loji di Zaporizhzhia dibedil, manakala tentera Rusia mara di selatan Ukraine dan mengebom beberapa bandar di tempat lain.

    Anggota bomba Ukraine berkata mereka dihalang daripada mengakses tapak berkenaan pada mulanya, sebelum mereka dapat memadamkan kebakaran di fasiliti latihan di tapak tersebut.

    Enam reaktor di Zaporizhzhia, yang boleh menjana tenaga yang mencukupi untuk empat juta rumah, nampaknya tidak rosak dan pemantau antarabangsa melaporkan tiada radiasi berlaku.

    Sementara itu, serangan tersebut membunuh tiga askar Ukraine, menurut pengendali nuklear Kyiv, Energoatom, dan dikritik di Washington, London dan ibu negara Barat lain sebagai tidak bertanggungjawab sama sekali.

    Petikan dari skrin diambil pada 4 Mac dari rakaman pihak berkuasa nuklear Zaporizhzhia menunjukkan loji nuklear Ukraine semasa pembedilan oleh pasukan tentera Rusia. Serangan dan penawanan loji itu dikecam oleh Ukraine dan pihak barat. -AFP

    “Kami terselamat dari malam yang boleh menghentikan cerita, sejarah Ukraine, sejarah Eropah,” kata Presiden Ukraine, Volodymr Zelensky.

    Letupan di Zaporizhzhia akan menyamai peristiwa “enam Chernobyl”, katanya, merujuk kepada loji di Ukraine yang menjadi lokasi bencana nuklear terburuk di dunia pada 1986.

    “Komander kereta kebal Rusia tahu apa yang mereka tembak,” dakwa Zelensky, sambil menambah bahawa ‘negara itu adalah negara keganasan nuklear’.

    Bagi pihaknya, Moscow berkata serangan ke atas Zaporizhzhia itu dilakukan oleh kumpulan pensabotaj Ukraine dengan penyertaan tentera upahan asing. “Matlamat provokasi di stesen nuklear adalah untuk cuba menuduh Rusia mencipta satu kawasan radioaktif,” dakwa jurucakap kementerian pertahanan Rusia, Igor Konashenkov. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 polis cedera, 1 maut akibat serangan beruang

    TOKYO, 19 MEI - Pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dengan beruang liar di timur laut negara itu selepas beberapa orang...