Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Semakin ramai bukan perokok hidapi kanser paru-paru

    KUALA LUMPUR – Apa yang menimpa Suzana Othman, seorang ibu berusia 53 tahun ini mungkin juga nasib yang dialami ramai orang khususnya wanita. 

    Pada tahun 2019, Suzana mula menghidap batuk berterusan dan keadaan ini amat menyiksa kehidupannya. Setiap kali bercakap, beliau akan batuk dan ini mengganggu pertuturannya. Acap kali juga beliau terpaksa berhenti bercakap untuk mengambil nafas.

    Agak pelik bila memikirkan apakah punca batuk yang begitu teruk memandangkan beliau bukan seorang perokok. Ada yang berfikir mungkinkah bau cat baru di dinding rumah Suzana mengganggu paru-parunya atau apakah beliau menghidap pneumonia. Walau apa pun tanggapan, Suzana berasa sungguh tertekan dan berdoa agar penyakit batuknya berhenti segera.

    “Dalam mulut ibu mesti ada strepsil,” kata anak Suzana, Syahzanani Salim, 25.

    Suzana masih tidak menganggap perkara buruk tentang batuknya sehinggalah suatu hari, selepas batuk berterusan yang teruk, Suzana melihat kahak berwarna coklat.

    Pesakit kanser paru-paru akan sering berulang-alik ke hospital dan dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan.

    Presiden LCNM, Dr Anand Sachithanandan. – Agensi

    “Ada sedikit darah dalam kahak tu. Meskipun saya ambil ubat batuk, masih ada sedikit darah. Kalau banyak sangat batuk, baru nampak macam darah,” katanya kepada Bernama yang menemu bual beliau di hospital.

    Apabila keadaan batuk menjadi lebih teruk dan beliau kehilangan berat badan yang banyak (sekitar 10kg dalam tempoh enam bulan), Suzana berjumpa doktor dan menjalani banyak ujian termasuk melakukan X-ray.

    Pada Januari 2021, Suzana disahkan menghidap kanser paru-paru. Sudah tentunya Suzana terperanjat apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa beliau menghidap kanser.  Beliau bagaimanapun menjangkakan kanser payudara kerana ibunya meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

    Meskipun suami Suzana seorang perokok sepanjang tempoh 27 tahun perkahwinan mereka, bagaimana Suzana yang tidak merokok seumur hidupnya boleh diserang kanser paru-paru? 

    Sememangnya soalan yang begini membuatkan para doktor yang mengendalikan pesakit kanser paru-paru sukar untuk menjawabnya.

    Kanser dalam kalangan mereka yang tidak pernah merokok

    Menghisap rokok adalah penyumbang utama kanser paru-paru dan penyakit ini adalah paling biasa dalam kalangan kaum lelaki Malaysia dan dilaporkan, sekitar 41 peratus lelaki Malaysia merokok. Namun merokok bukan sahaja punca utama kanser paru-paru.

    Faktor risiko persekitaran seperti perokok pasif, terdedah kepada radon (gas radioaktif) serta pencemaran udara diketahui sebagai punca kanser dalam kalangan bukan perokok atau tidak pernah merokok.

    “Secara tradisinya, kanser paru-paru adalah penyakit yang selalu menyerang kaum lelaki. Sewaktu saya di sekolah perubatan, kami selalu menyamakan kanser paru-paru dengan lelaki dan perokok,” kata Dr Anand Sachithanandan, presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM).

    “Sekarang, penyakit ini mula meningkat dalam kalangan bukan perokok. Memang mencemaskan. Bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Ramai yang bingung memikirkan keadaan ini,” tambahnya.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan pencemaran udara sebagai satu lagi punca kanser paru-paru pada tahun 2013.

    Di Amerika Syarikat, pencemaran udara di Amerika Syarikat dilaporkan penyebab sekitar satu hingga dua peratus kes kanser paru-paru.

    Pada bulan September 2022, para penyelidik mendapati pencemaran udara menyebabkan kanser paru-paru dengan menyebabkan mutasi dalam gen yang dikaitkan dengan kanser paru-paru, yang dipanggil EGFR.  (didapati dalam separuh bilangan pesakit kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok) dan KRAS.

    Menurut US Centers for Disease Control, untuk bukan perokok, kes kanser paru-paru adalah antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pesakit kanser paru-paru pada tahun 2021 berbanding lapan peratus pada 2017.

    Bagaimanapun, tidak ada angka tertentu untuk pesakit kanser paru-paru akibat tabiat merokok, di Malaysia.

    Dr Anand menganggarkan, hampir satu pertiga pesakit kanser di negara ini tidak pernah merokok, sambil berkongsi bukti anekdot.

    Berdasarkan perangkaan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, di Malaysia, didapati kanser paru-paru adalah kanser nombor lima paling biasa dalam kalangan wanita di negara ini meskipun hanya 1.1 peratus wanita merokok

    Sementara itu, kajian Malaysia, Malaysian Study on Cancer Survival 2018, kes kanser paru-paru yang melibatkan wanita adalah sebanyak 2,478 meskipun kadar penggunaan tembakau dalam kalangan mereka adalah kecil. Jumlah berkenaan adalah separuh daripada jumlah pesakit kanser paru-paru lelaki iaitu 5,543. 

    Kajian berkenaan juga mendapati wanita bukan perokok yang kemudiannya menghidapi kanser paru-paru adalah lebih muda usianya.Perunding Pakar Onkologi Klinikal Hospital Kuala Lumpur, Dr Vaishnavi Jeyasingam memberitahu Bernama, asap rokok terpakai mungkin penyebab kes kanser paru-paru berkenaan tetapi tidak dapat dipastikan.

    Berbanding di Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai kajian yang dapat menunjukkan secara tepat apakah faktor persekitaran paling mempunyai kesan yang memudaratkan terhadap bukan perokok. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jasad Anna Gutu, malim gunung ditemui selepas setahun hilang

    KATHMANDU, 19 MEI - Sepasukan pendaki gunung telah mendapatkan mayat pendaki Amerika Syarikat (AS) dan malim gunung yang tertimbus dalam runtuhan salji di Gunung...