“Lepak dulu, nanti baru buat.” Itulah ungkapan yang sering aku dengar dari mulut suami. Dari luar, mungkin kelihatan seperti perihal biasa. Tapi bagi aku, ini adalah sebuah beban yang makin lama makin menghimpit hidup kami sekeluarga.
Suamiku, lelaki yang dulunya aku harap menjadi tiang utama keluarga, kini lebih gemar melepak dengan kawan-kawan hingga larut malam. Bukan hanya melepak biasa kadang-kadang sampai ke tahap membazir wang untuk hal-hal yang tidak penting. Sedangkan aku di rumah, bertungkus-lumus memastikan segala-galanya berjalan lancar: anak-anak terurus, rumah bersih, dan keperluan dapur mencukupi.
Ada masanya, aku cuba menegur. Tetapi jawapannya selalu sama: “Bukan aku lepak hari-hari. Jangan bising.” Ironinya, walaupun katanya “tidak selalu,” kesan lepak itu jelas. Aku sering terpaksa menanggung tanggungjawab yang seharusnya kami kongsi bersama.
Lebih menyakitkan hati, suamiku selalu beralasan bahawa ini masanya dia mahu “rehat” atau “me time” setelah penat bekerja. Tetapi bagaimana pula dengan aku? Bukankah aku juga penat? Bukankah seorang isteri berhak mendapat sokongan daripada suaminya, bukan hanya dibebankan dengan tugas tanpa henti?
Aku tahu, lelaki memang memerlukan masa untuk bersosial. Tapi, di mana garis batasannya? Bila keperluan keluarga diabaikan, aku rasa sikap itu bukan lagi tentang bersosial ia adalah tanda kurang tanggungjawab.
Kini aku di persimpangan. Adakah aku perlu terus bersabar dan berharap dia akan berubah, atau adakah aku perlu mengambil tindakan lebih tegas demi masa depan kami? Aku ingin mendengar pendapat sidang pembaca. Pernahkah awda mengalami situasi ini? Bagaimana cara terbaik untuk menangani suami yang terlalu leka dengan dunianya sendiri hingga isteri terbeban?
Nisa
NASIHAT DANG MP –
Terima kasih kepada Nisa kerana menulis kepada kami. Mungkin masalah Nisa adalah masalah yang sering dihadapi oleh para isteri di luar sana.
Adalah amat mendukacitakan dan amat tertekan sekiranya suami sering menggunakan alasan untuk berehat dan semakin melupakan tanggungjawabnya seperti apa yang Nisa ceritakan.
Dalam mengatasi keadaan ini, komunikasi sememangnya adalah kunci utama. Nisa perlu berbincang dengan suami secara terbuka, tanpa menghakimi atau marah, tetapi dengan penuh kesabaran. Jelaskan kepadanya bagaimana tindakannya memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga dan emosi awda terutamanya. Teguran yang tegas dan jelas mungkin diperlukan untuk mengingatkan beliau tentang tanggungjawab bersama. Memberi masa untuk dirinya berehat atau bersosial itu memanglah wajar, tetapi janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawab keluarga. Bukankah setiap pasangan harus ada tolak ansur untuk menjaga keharmonian rumah tangga?
Jika keadaan berterusan, awda mungkin perlu mempertimbangkan untuk meminta sokongan dari pihak ketiga, seperti kaunselor perkahwinan, agar isu ini dapat diselesaikan dengan lebih baik. Dapatkan juga nasihat daripada orang-orang yang awda percayai seperti ibu bapa mertua atau ipar tetapi janganlah sampai mengaibkan diri awda dan keluarga.
Dalam masa yang sama, janganlah lupa untuk melayan suami dengan baik dan taat.
Semoga suami Nisa berubah sikap dan terbuka hati untuk membantu Nisa dalam memelihara keharmonian rumah tangga awda sekeluarga.