Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Tingkat semangat menjelang peperiksaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 3 OKT – Bagi meningkatkan semangat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge GCE A Level tidak lama lagi, Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah mengadakan Majlis Restu Guru dan Cera-mah Motivasi bertempat di Dewan Serba Guna PTET, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang dialu-alukan oleh Pengetua PTET, Hajah Murni binti Abdullah. Turut hadir ialah timbalan-timbalan pengetua, guru-guru dan penuntut-penuntut Tingkatan Enam Atas PTET.

    Semasa menyampaikan ucapan, Awang Abdul Aziz yang juga selaku penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia baru-baru ini, antaranya mengongsikan kata-kata semangat dan inspirasi khususnya kepada para penuntut bahawa setiap kehidupan yang ditempuhi ini memiliki tahap yang berbeza-beza dan pastinya setiap insan itu mempunyai kebolehan masing-masing yang perlu diterokai dan diasah dengan bersungguh-sungguh serta menjauhi daripada sikap mudah putus asa meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan.

    “Jika kita gagal, bukan bermakna kita akan gagal selamanya. Sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Jangan pula kita hanya berserah tanpa adanya usaha. Pastikan memiliki sikap terlalu yakin, namun lakukan ia dengan penuh ketenangan di samping sentiasa menjaga kesihatan diri seperti tidur yang cukup,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan bahawa dalam apa pun yang kita lakukan, perkara paling penting ialah mesti memohon restu kepada ibu bapa termasuk guru-guru dan sentiasa
    meminta doa-doa daripada mereka agar segala urusan kita dipermudahkan dan diberikan kelancaran dalam menjawab kertas soalan peperiksaan.

    “Ibu bapa kita, merekalah insan yang sanggup bersusah payah demi kebaikan anak-anak.

    Oleh itu restu dan reda ibu bapa dalam kehidupan seseorang itu sangat penting kerana ia sebagai punca untuk mendapatkan keredaan Allah SWT,” jelasnya lagi.

    Awang Abdul Aziz menyampaikan ucapan pada majlis itu.
    Antara guru dan pelajar PTET yang hadir pada Majlis Restu Guru dan Ceramah Motivasi di Dewan Serba Guna PTET, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...