SYDNEY, 29 NOV – Seorang bekas pekerja tadika Australia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup hari ini selepas mengaku bersalah atas penderaan seksual terhadap puluhan kanak-kanak, dalam kes yang digambarkan sebagai ‘keji’ dan ‘di luar jangkaan manusia’.
Ashley Paul Griffith mengaku bersalah atas tuduhan lebih 300 pertuduhan termasuk 28 kes rogol dan penderaan seksual terhadap lebih daripada 60 kanak-kanak, kebanyakannya kanak-kanak perempuan semasa bekerja di tadika antara 2003 hingga 2022.
Hakim yang menjatuhkan hukuman, Paul Smith, berkata bahawa jenayah yang dilakukan oleh Griffith, yang berusia 46 tahun, telah menyebabkan “kesan buruk yang mendalam.”
“Orang ramai mengharapkan agar anak-anak mereka dilindungi di pusat penjagaan kanak-kanak,” katanya dalam ucapannya.
“Namun jenayah ini sangat keji dan dilakukan oleh seorang lelaki yang mempunyai risiko tinggi untuk mengulanginya.”
Pihak polis percaya bahawa beberapa mangsa Griffith mungkin berusia serendah 12 bulan ketika kejadian tersebut berlaku.
Siasatan bermula sekitar sepuluh tahun lalu selepas polis menemui satu koleksi bahan pornografi kanak-kanak yang dikongsi secara anonim di laman sesawang gelap.
Namun, usaha mereka pada mulanya tidak membuahkan hasil sehinggalah mereka membuat penemuan tidak dijangka apabila berjaya memadankan petunjuk visual di latar belakang imej dengan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Brisbane.
Setelah mengenakan tuduhan terhadap Griffith pada 2023, pegawai kanan Michael Fitzgerald berkata bahawa iituni adalah “salah satu kes penderaan kanak-kanak yang paling mengerikan” yang pernah disaksikan oleh pasukan polis tersebut. – AFP