Friday, May 3, 2024
28.3 C
Brunei

    -

    Berita gembira untuk penjawat awam Malaysia

    PUTRAJAYA, 30 OGOS – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

    “Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam secara fizikal di sini serta ribuan lagi mengikutinya secara dalam talian.

    Beliau berkata KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion. 

    “Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya sambil disambut dengan sorakan setiap kali beliau mengumumkan insentif untuk penjawat awam.

    Ismail Sabri turut mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

    MAPPA merupakan acara tahunan bagi mendengar amanat daripada perdana menteri kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

    Turut hadir menteri-menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.

    Ismail Sabri pada perhimpunan itu turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari. – Bernama

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi perisik Seoul beri amaran kepada Korea Utara

    SEOUL, 3 MEI - Agensi perisik Korea Selatan berkata hari ini bahawa Pyongyang sedang merancang serangan pengganas yang menyasarkan pegawai dan rakyat Seoul di...