Tuesday, May 7, 2024
24 C
Brunei

    -

    Elliott kembali, bantu Liverpool tewaskan Cardiff

    LIVERPOOL, 7 FEB – Jurgen Klopp menyifatkan kepulangan dan jaringan gol Harvey Elliott dalam kemenangan pusingan keempat Piala FA Liverpool 3-1 ke atas Cardiff sebagai “impian jadi kenyataan” selepas lima bulan berehat kerana kecederaan buku lali yang serius.

    Elliott dikeluarkan dari bangku simpanan bersama pemain baharu, Luis Diaz selepas tandukan Diogo Jota membuka jaringan pada awal separuh masa kedua.

    Diaz membuat impak segera dengan membantu Takumi Minamino untuk menggandakan pendahuluan Liverpool.

    Tetapi sorakan terbesar dikhaskan untuk Elliott apabila dia menjaringkan tendangan voli 14 minit sebelum tamat.

    Terdapat kebimbangan Elliott mungkin tidak dapat bermain sekurang-kurangnya sepanjang musim ini apabila dia mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Leeds.

    “Kepulangannya satu langkah yang bagus tetapi menjaringkan gol ini seperti kisah dongeng yang sempurna,” kata Klopp.

    “Harvey tidak bernasib baik dengan kecederaan itu tetapi bernasib baik dengan keseluruhan proses selepas itu.

    “Semuanya berjalan dengan baik. Dia melakukan yang terbaik, jabatan perubatan melakukan tugasan yang luar biasa. Dia seorang budak yang berani dan pemain bola sepak yang hebat.”

    Rubin Colwill membalas satu gol untuk pasukan Bluebirds, tetapi Liverpool yang akhirnya akan bertemu Norwich di Anfield pada pusingan 16 terakhir.

    Buat kali terakhir, pasukan Klopp beraksi tanpa Sadio Mane dan Mohamed Salah kerana penyertaan mereka pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan rakan sepasukan kelab itu berentap di final kelmarin ketika Senegal menentang Mesir. – AFP

    Reaksi Harvey Elliott selepas menjaringkan gol dalam perlawanan antara Liverpool dan Cardiff kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...