Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Timbalan Mufti Kerajaan hadiri persidangan agama

    Oeh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin telah bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia, bagi menghadiri Persidangan Ketua-ketua Agama Sedunia (PKKAS) 2024 anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ugama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muslim World League (MWL).

    Beliau ke persidangan itu selaku wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan turut mengiringi beliau ialah Penolong Ketua Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Raimi bin Awang Tengah.

    Persidangan yang bertemakan Kesatuan Dalam Kepelbagaian itu akan berlangsung esok di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

    Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama perasmian.

    Objektif utama penganjuran persidangan tersebut adalah untuk membangunkan wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.

    Persidangan itu merupakan kesinambungan daripada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 pada 30 Jun 2022.

    Dijangkakan seramai 1,500 orang peserta terdiri daripada para ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli Parlimen, ahli akademik dan tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam dari lebih 50 buah negara akan turut serta dalam persidangan tersebut.

    Dato Seri Setia Dr Haji Japar dan Haji Raimi bergambar sebelum berlepas menghadiri persidangan yang diadakan di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MUFTI KERAJAAN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...