Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    Diplomat Afghanistan letak jawatan susulan kes seludup emas AS$2 juta

    NEW DELHI, 6 MEI – Seorang diplomat tertinggi Afghanistan di India telah meletak jawatan beberapa hari selepas dia dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan terbang kerana menyeludup emas bernilai hampir AS$2 juta ke negara itu.

    Diplomat itu, Zakia Wardak, Konsul Jeneral Afghanistan di India, mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu kenyataan di platform X, kelmarin.

    “Dengan penuh kekesalan, saya mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan di konsulat dan kedutaan di India, berkuat kuasa 5 Mei 2024,” katanya.

    Menurut laporan media India, Wardak dihalang oleh pihak berkuasa risikan kewangan di Lapangan Terbang Mumbai bulan lalu, sebaik tiba dari Dubai bersama anaknya, sambil membawa 25 kilogram (kg) emas.

    Menurut laporan itu, dia tidak ditangkap kerana kekebalan diplomatiknya, bagaimanapun emas dengan nilai sekitar AS$1.9 juta itu dirampas.

    Peletakan jawatan Wardak menyebabkan ribuan warga Afghanistan termasuk pelajar dan ahli perniagaan, kehilangan sebarang perwakilan konsul di India.

    Kedutaan Afghanistan di New Delhi ditutup pada November tahun lalu, lebih dua tahun selepas Taliban kembali berkuasa di Kabul berikutan kejatuhan kerajaan yang disokong Barat, meninggalkan Wardak sebagai wakil paling kanan negara itu di India.

    Kebanyakan negara asing termasuk India tidak mengiktiraf kerajaan Taliban Afghanistan secara rasmi, tetapi mengakui mereka sebagai pihak berkuasa yang memerintah secara de facto. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...